BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Bakal Jadi Tuan Rumah Sidang Kemuncak ASEAN AI, Ekspo Bandar Pintar - Gobind

04/06/2025 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 (SCEKL2025), edisi pertama Kongres Ekspo Bandar Pintar Dunia untuk rantau Asia Tenggara serta Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penganjuran ekspo ini mencerminkan penerajuan negara dalam pembangunan bandar pintar di samping usaha menangani impak AI ke atas bandar pada masa depan,

Sidang Kemuncak AI ASEAN akan berlangsung dari 12 Ogos hingga 13 Ogos, manakala SCEKL2025 akan diadakan dari 17 Sept hingga 19 Sept.

Gobind berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, penganjuran SCEKL2025 oleh Malaysia memperlihatkan komitmen negara untuk membentuk masa depan inovasi bandar, bukan sahaja bagi negara tetapi untuk seluruh rantau ini.

“Dengan ekosistem dan infrastruktur yang tersedia, Malaysia bukan sahaja bersedia untuk menjadi tuan rumah SCEKL2025, kita juga bersedia untuk meneraju pembangunan Bandar AI di seluruh ASEAN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kira detik 100 hari penganjuran rasmi SCEKL2O25, di sini, hari ini.

Mengenai penyertaan bandar ASEAN dalam Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN), beliau berkata penerimaan lebih meluas dalam kalangan negara berbeza pastinya merupakan sebahagian daripada perbincangan berterusan dalam negara anggota ASEAN.

ASCN adalah platform kerjasama bagi bandar-bandar dari 10 Negara Anggota ASEAN untuk mencapai matlamat bersama pembangunan bandar pintar dan mampan.

Bermula dengan 26 bandar perintis, projek itu kini telah berkembang dengan jumlah keahlian meningkat kepada 34 bandar.

Gobind berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia sedang giat memajukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang bertujuan untuk memanfaatkan potensi ekonomi digital bernilai US$2 trilion menjelang 2030 melalui pelaburan rentas sempadan, akses pasaran dan peraturan digital yang diselaraskan.

"Menganjurkan SCEKL2025 merupakan sebahagian daripada agenda penerajuan ini. Ia meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi bandar pintar, kerjasama awam-swasta dan pembangunan digital yang inklusif," katanya.

SCEKL2025 dijangka menarik lebih 10,000 delegasi, 300 pempamer, dan peserta dari lebih 20 negara dan berfungsi sebagai platform untuk kerjasama daripada dasar-ke-projek, penglibatan pelabur, pameran teknologi dan penyelesaian bandar dunia sebenar.

“Kita berbangga mendapat sokongan jenama global seperti Dell, Intel, Ericsson, dan Huawei, serta persatuan utama termasuk Malaysia Smart Cities Alliance, Smart Cities Network, Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT)  dan Malaysia PropTech Association” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan