BELANJAWAN 2025 > BERITA

KBS Buka Permohonan Untuk Dana e-Sukan 2025

04/06/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) iaitu sebuah inisiatif di bawah Impact Integrated telah membuka permohonan bagi Dana E-Sukan KBS (DEK) 2025 secara dalam talian bermula hari ini sehingga 31 Julai ini. 

KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan permohonan akan diumumkan pada 28 Ogos ini dengan pemohon dikehendaki melaksanakan program yang dipilih dalam tempoh antara September hingga November 2025.

Kenyataan itu turut menyebut pengumuman ini menandakan tahun ketiga pelaksanaan DEK dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM500,000 berbanding tahun 2024.

“Penyediaan DEK ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KBS untuk menyokong pertumbuhan sektor e-sukan yang semakin berkembang saban tahun.

“Sejak inisiatif ini mula diperkenalkan pada 2023, DEK telah menyokong lebih 80 inisiatif e-sukan akar umbi di seluruh negara melibatkan penganjuran kejohanan, pembangunan bakat, kandungan digital serta aktiviti komuniti,” menurut kenyataan itu.

DEK membuka ruang kepada lebih luas kepada organisasi, kelab komuniti, pencipta kandungan serta penganjur tempatan untuk menyumbang kepada landskap e-sukan Malaysia yang progresif, selari dengan nilai teras daya cipta dan keyakinan dalam konsep Malaysia MADANI.

Sementara itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim dalam kenyataan sama berkata dana itu bukan sekadar satu skim bantuan kewangan semata-mata, tetapi merupakan simbol kepercayaan dan komitmen KBS terhadap potensi besar e-sukan.

“DEK ini adalah selari dengan hasrat untuk merakyatkan sukan termasuklah e-sukan melalui pendekatan whole-of-nation. Dengan adanya DEK, kita ingin memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat industri dalam memacu ekosistem e-sukan negara yang lebih progresif, inklusif, dan berdaya saing,” katanya.

Bagi membantu pemohon menyediakan cadangan program yang berkualiti dan memahami proses penilaian, KBS menerusi ESI akan menganjurkan sesi libat urus DEK yang terbuka kepada semua penggiat industri termasuk institusi pendidikan, organisasi belia dan sukan serta kumpulan komuniti.

Lokasi dan tarikh sesi libat urus akan diumumkan dalam masa terdekat dengan pemohon boleh melayari laman sesawang www.esportsintegrated.com/danaesukankbs atau emel ke DanaEsukanKBS@esportsintegrated.com untuk maklumat lanjut mengenai DEK 2025.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan