KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) hari ini bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) bagi mengukuhkan kredibiliti pengurusan fiskal negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penubuhan JTKS tersebut adalah susulan Mesyuarat JKKTN yang dipengerusikannya hari ini.
“Perhatian serius diberikan terhadap penemuan audit berkaitan ketakteraturan kewangan yang berpotensi menjejaskan kredibiliti pengurusan fiskal negara.
“Sehubungan itu, dan selari dengan pengukuhan peranan Jabatan Audit Negara melalui pindaan kepada Akta Audit 1957, mesyuarat bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Anwar berkata penubuhan JTKS itu bertujuan memastikan tindakan susulan yang lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial