PETALING JAYA, 3 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyuarakan harapan supaya pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia akan menerima tawaran menyertai Program Road to Gold (RTG) dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).
Hannah berkata beliau telah bertemu dengan pemenang pingat gangsa di Paris 2024 itu pada minggu lepas untuk berbincang mengenai manfaat inisiatif RTG, terutamanya dalam sokongan yang diperluas kepada atlet bebas.
“Kami berharap dapat menawarkan perkhidmatan RTG kepada Zii Jia. Saya harap beliau akan bersetuju kerana tiada sebarang kerugian.
“Keputusan akhir di tangan Zii Jia dan saya yakin beliau akan mempertimbangkan semua faktor,” katanya kepada pemberita pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin 2025 di sini hari ini.
Pada April lepas, Jawatankuasa RTG menamakan Zii Jia dan juara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Asia Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama 10 lagi pemain badminton bagi program RTG menjelang LA28.
Zii Jia, yang kini pemain nombor lapan dunia sebelum ini menolak tawaran menyertai program RTG bagi kitaran Paris 2024.
Tiga atlet bukan badminton yang tersenarai dalam RTG kitaran LA28 ialah pelumba berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan.
Sementara itu, Hannah berkata senarai akhir mereka yang menyertai RTG untuk LA28 dijangkakan siap pada penghujung Jun ini.
Beliau berkata jangkaan masa itu ekoran jadual padat perjalanan atlet kerana mereka kerap berada di luar untuk menyertai pertandingan.
“Kami mahu mengumpulkan semua atlet yang bersetuju supaya boleh menandatangani (persetujuan) bersama-sama,” katanya.
LA28 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 30 Julai 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial