KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” diangkat sebagai tema sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, yang akan diadakan pada 13 hingga 15 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzli ketika mengumumkan tema itu berkata dalam era transformasi digital, penggunaan AI semakin mempengaruhi cara maklumat dikumpul, diproses dan disebarkan.
“Sambutan kali ini mengangkat persoalan penting mengenai teknologi dengan nilai-nilai asas kewartawanan agar boleh bergerak seiring bukan saling bertentangan.
“Jadi seharusnya rakan-rakan wartawan membantu untuk masyarakat mengemudi soalan-soalan yang begitu penting mengenai adab, etika, kesesuaian kita, menggunakan aplikasi dan teknologi-teknologi baharu,” katanya berucap pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 dan Perasmian Motorhome BERNAMA di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Fahmi turut memperkenalkan logo HAWANA 2025.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi Bernama.
Fahmi juga menekankan kepentingan memastikan nilai-nilai asas kewartawanan terus dipertahankan dalam era teknologi baharu, khususnya ketika berdepan dengan cabaran kecerdasan buatan generatif (Gen AI) yang semakin meluas penggunaannya.
Beliau berkata perkembangan teknologi masa kini tidak lagi memerlukan peralatan canggih, malah banyak tugasan seperti penghasilan video berasaskan AI, kini boleh dilakukan menerusi telefon pintar sahaja dengan bantuan teknologi pengkomputeran awan.
“Ini menjadi satu cabaran apabila hasil Gen AI itu seolah-olah boleh menggantikan manusia, apatah lagi apabila ia digunakan bagi menghasilkan kandungan untuk media sosial, yang seolah-olah disampaikan sebagai laporan rasmi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru para wartawan untuk memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memahami dan menilai secara kritis penggunaan teknologi seperti Gen AI, khususnya dari sudut ketepatan maklumat serta tanggungjawab penyampaian.
“Ini amat penting terutama bagi organisasi media yang kini berdepan cabaran bukan sahaja dalam aspek kewartawanan tetapi juga ekonomi,” katanya.
Mengenai HAWANA 2025, beliau berharap sambutan itu akan menjadi wadah dan wacana penting dalam kalangan wartawan tempatan serta antarabangsa, untuk meneliti bersama perubahan global yang memberi impak kepada industri media.
“Yang menjadi kelainan bagi HAWANA kali ini ialah kita mengambil kesempatan sempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, saya telah meminta agar rakan-rakan media daripada seluruh negara ASEAN dijemput.
“Ia seiring dengan matlamat Komuniti ASEAN 2045, selaras dengan Deklarasi Kuala Lumpur yang telah menggariskan beberapa visi dan ikhtiar ke arah integrasi rantau Asia Tenggara yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata Kod Etika Kewartawanan Malaysia yang dilancarkan pada Februari 2024, akan terus menjadi panduan untuk wartawan dan pengamal media melaksanakan tugas secara profesional dan beretika.
Menyentuh mengenai logo HAWANA 2025, Fahmi berkata untuk edisi tahun ini, ia menampilkan Menara Berkembar Petronas dan Merdeka 118 yang menjadi simbol kebanggaan negara, serta ilustrasi pena bagi menggambarkan kekuatan intelektual wartawan serta peranan media dalam membentuk masyarakat bermaklumat.
Beliau berkata HAWANA 2025 bukan hanya tertumpu kepada majlis kemuncak pada 14 Jun ini, tetapi pelbagai aktiviti dan acara dirancang antaranya Pesta Pantun HAWANA-DBP, Karnival dan Pameran, Forum Media HAWANA anjuran bersama Bernama dan Institut Akhbar Malaysia (MPI), Program UNESCO-Young Creator Fellowship anjuran MalaysiaKini dengan kerjasama UNESCO, Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kementerian Komunikasi, Jelajah HAWANA di politeknik premier serta Karnival Sukan HAWANA.
HAWANA 2025 menerima tajaan dan sumbangan daripada 79 rakan strategik, meningkat berbanding 44 pada tahun lalu sekali gus mencerminkan kepercayaan yang semakin meningkat terhadap penganjuran acara terbesar dalam industri kewartawanan negara.
Sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di WTC KL pada 13 hingga 15 Jun ini dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan golongan media profesional dan pakar industri sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial