BELANJAWAN 2025 > BERITA

Etika, Pengaruh Baharu Dalam Landskap Media Masa Kini - CMCF

02/06/2025 10:50 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 2 Jun (Bernama) -- Dalam dunia yang semakin didorong unsur tular dan populariti, etika perlu menjadi pengaruh baharu dalam media dan penciptaan kandungan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Mediha Mahmood.

Beliau berkata etika boleh menjadi pengaruh baharu, kerana orang ramai kini mencari organisasi, institusi dan individu yang boleh dipercayai.

“Kandungan yang beretika dan bertanggungjawab mempunyai nilai jangka panjang berbanding kandungan tular yang bersifat sementara yang mungkin mendapat suka dan tontonan, tetapi tidak membina kredibiliti.

“Satu-satunya nilai sebenar yang boleh kita tawarkan dalam persekitaran digital yang sesak ini ialah etika. Walaupun kandungan tular menarik perhatian, ia tidak membina reputasi yang berkekalan,” katanya kepada Bernama semasa Seminar Media dan Pembinaan Negara: Etika, Perlindungan Siber dan Kerangka Perundangan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini, baru-baru ini.

Mengenai isu maklumat tidak benar, Mediha menjelaskan bahawa hubungan antara kebenaran dan kepercayaan semakin rapuh, kerana kandungan berfakta mungkin tidak dikongsi jika khalayak tidak mempercayai sumbernya.

Beliau berkata pendekatan terbaik ialah membina kepercayaan melalui ketelusan dan akauntabiliti, kerana apabila orang ramai mempercayai sesuatu organisasi atau institusi, mereka kurang cenderung untuk mempercayai atau menyebarkan maklumat salah terhadapnya.

“Mewujudkan budaya kepercayaan dapat membantu mencegah penyebaran kandungan berbahaya, dan sifat boleh dipercayai merupakan pertahanan yang lebih berkesan daripada sekadar bertindak balas terhadap pembohongan selepas ia menjadi tular,” katanya.

Mediha turut menolak tanggapan bahawa kewartawanan semakin merosot akibat media sosial, sambil menegaskan sokongan penuhnya terhadap profesion tersebut. Beliau menambah bahawa beliau sentiasa percaya wartawan memainkan peranan penting dalam mendedahkan apa yang berlaku di dalam negara dan global.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa kewartawanan sedang “mati” dalam era media sosial, sebaliknya menegaskan bahawa profesion ini masih relevan dan perlu menyesuaikan diri dengan landskap digital yang semakin berkembang.

“Wartawan mungkin perlu mempertajamkan kemahiran digital mereka untuk mendekati khalayak yang kini berada dalam talian. Namun kewartawanan boleh terus berkembang seiring dengan media sosial,” katanya.

Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diraikan pada 29 Mei setiap tahun, Mediha turut menyampaikan ucapan penghargaan dan sokongannya kepada semua wartawan, penyunting dan pengamal media.

“Saya mendoakan yang terbaik buat semua pengamal media di luar sana dan saya akan sentiasa menyokong mereka dari belakang tabir,” kata Mediha.

Sementara itu berkongsi pandangan beliau mengenai kepercayaan awam, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berkata golongan muda lebih cenderung kepada “kandungan ringan” seperti berita pendek berasaskan video dan industri perlu menyesuaikan format serta cara penyampaian untuk kekal relevan.

“Ada persepsi bahawa Gen Z tidak berminat terhadap berita, tetapi mereka sebenarnya berminat, cuma dalam format yang berbeza. Jika kita dapat menarik perhatian mereka sekarang, ia mungkin akhirnya akan membawa mereka menghargai kewartawanan panjang dan bersifat analisis,” katanya.

Yong berkata kepercayaan terhadap berita juga bergantung kepada suara dan bahasa yang dekat dengan audiens dan golongan muda lebih cenderung mempercayai kandungan disampaikan oleh individu daripada generasi mereka sendiri, dalam nada yang mereka rasa dekat dan mudah difahami.

Yong berkata akhirnya wartawan berpengalaman dan wartawan muda perlu bekerjasama untuk menggabungkan pengalaman dengan inovasi demi membina ekosistem media yang berwibawa, tahan uji dan berpandangan jauh.

HAWANA 2025 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun dengan kemuncak acara dijadualkan pada 14 Jun, dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

HAWANA 2025 turut menampilkan pelbagai acara termasuk Festival Pantun pada 31 Mei, acara pra-pelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama esok, dan forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan