BELANJAWAN 2025 > BERITA

FAMA Fest 2025 Sasar RM6 Juta Hasil Jualan Di Enam Negeri

01/06/2025 01:21 PM

GOPENG, 1 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan sebanyak RM6 juta hasil jualan menerusi program FAMA Fest anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di enam negeri.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata program itu bermula di Sarawak pada April, diikuti Johor, Perak, Selangor, Sabah, dan akan berakhir di Negeri Sembilan pada September ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Perak adalah antara tulang belakang program FAMA Fest yang diadakan setiap tahun dan tahun ini ialah penganjuran kali ketujuh.

“Pada tahun lepas, sasaran nilai jualan (di Perak) adalah sebanyak RM2 juta, tetapi hasil daripada sambutan yang sangat baik kita telah melepasi sasaran itu dengan nilai jualan RM2.6 juta,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan FAMA Fest @Perak 2025 di RTC Perak di sini hari ini.

Beliau berkata justeru, pada tahun ini pihak FAMA Fest @Perak telah meningkatkan lagi sasaran itu kepada RM3 juta melalui 210 pameran yang telah dibuka selama lima hari bermula pada 29 Mei lepas.

“FAMA Fest @Perak selalunya penyumbang yang terbesar dan tahun lepas telah menyumbang sebanyak 30 peratus secara keseluruhan hasil jualan FAMA Fest di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata program FAMA Fest merupakan antara usaha kerajaan dalam menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian yang kini diusahakan mereka yang kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas.

“Program-program seperti ini kita menambahkan ruang pasaran untuk mereka memasarkan produk-produk dan juga menunjukkan bahawa sektor pertanian dan agromakanan ini sebenarnya sektor yang sangat lumayan dan ada peluang untuk menjana pendapatan besar. 

“Kedua, kita tidak boleh lagi bergantung pada kaedah pertanian secara konvensional, kita mesti beralih kepada kaedah pertanian yang lebih moden menggunakan teknologi dan inovasi, ia rantaian yang sangat panjang dari segi pembuatan, penyenggaraan operasi dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak KPKM sangat menggalakkan kursus-kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian di bawah kementerian berkenaan dengan menawarkan pelbagai kursus seperti ternakan, perikanan, dan tanaman.

“Kita akan membiayai sepanjang proses itu termasuk kursus, asrama, elaun harian … untuk menarik golongan belia menceburi bidang pertanian," katanya.

Pada 29 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan pengusaha pertanian berusia 15 hingga 45 tahun adalah sebanyak 224,147 orang atau 22.2 peratus, menerusi dapatan Banci Pertanian 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan