KUALA KRAI, 31 Mei (Bernama) -- Ketenteraman tiga kampung di daerah ini tergugat apabila sekumpulan kera liar mula bertindak agresif, mencederakan penduduk dan memusnahkan tanaman, malah berani menceroboh kawasan perumahan.
Hampir 300 penduduk dari Kampung Kubang Lebur, Kampung Batu Lada, dan Taman Berkat Jaya kini hidup dalam kebimbangan setiap kali melangkah keluar rumah. Serangan terbaru menyaksikan dua mangsa cedera, hanya dalam tempoh seminggu.
Zaiton Omar, 62, berkata dia masih trauma selepas berdepan detik mencemaskan pada Selasa lepas ketika cuba menghalau beberapa ekor kera yang sedang menyerbu pokok durian belanda di hadapan rumahnya.
“Saya rebah akibat terkejut apabila seekor kera besar melompat dari atas pokok seolah-olah mahu menerkam saya.
“Langsung tak sempat buat apa-apa. Terkejut sangat sampai jatuh, kepala terhantuk dan berdarah. Siku dan lutut pun luka, mujur anak saya ada waktu itu, terus bawa saya ke hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zaiton terpaksa menerima rawatan lanjut selama empat hari di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, memandangkan turut menghidap penyakit jantung dan diabetes.
Dua hari selepas itu, Muhammad Afif Mohd Affandi, 16, pula mengalami kecederaan selepas terjatuh dari motosikal ketika cuba membuang sampah berhampiran kediamannya di Taman Berkat Jaya.
“Beberapa ekor kera sudah kelihatan berkeliaran berhampiran tong sampah dan saya tidak menyangka diserang secara tiba-tiba.
“Satu daripada seekor kera lompat ke arah saya, lalu terlanggar dan terus terjatuh. Bahu, siku, pinggul kanan luka, dan kepala saya pula kena tiga jahitan,” katanya.
Abdullah Ibrahim, 56, yang telah menetap hampir enam tahun di Kampung Kubang Lebur, kera liar itu bukan sahaja memusnahkan tanaman malah mencuri makanan dari rumah penduduk.
“Pagi-pagi keluar rumah, tengok pisang dah hilang. Ada yang panjat bumbung, selongkar dapur, makin berani. Penduduk takut nak biarkan anak-anak bermain di luar,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Batu Lada, Ramdzan Yusoff, menjelaskan perangkap telah dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) susulan aduan yang diterima.
Beliau mengingatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan elakkan kawasan yang sering menjadi tumpuan haiwan liar, terutama ketika menjalankan aktiviti luar.
Sehubungan dengan itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat mengesahkan pihaknya telah dimaklumkan mengenai tindakan Perhilitan dan menasihati orang ramai agar segera melaporkan sebarang insiden serangan haiwan liar kepada agensi berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial