BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pertemuan ASEAN-AS Perkukuh Kerjasama Pertahanan Serantau - Mohamed Khaled

31/05/2025 01:15 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 30 Mei (Bernama) -- Pertemuan pelbagai hala antara Menteri Pertahanan ASEAN, Timor Leste dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth di sini, bakal memperkukuh kerjasama pertahanan serantau, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pertemuan antara Menteri Pertahanan ASEAN, Timor Leste dan Hegseth itu berlangsung di luar Dialog Shangri-La ke-22, pada Jumaat.

“Sesi pertemuan pelbagai hala ini dimanfaatkan oleh setiap negara ASEAN untuk berkongsi pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau, khususnya di wilayah Indo-Pasifik, serta usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara negara ASEAN dan Amerika Syarikat,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Dalam hantaran sama, Khaled berkata beliau telah berkongsi pandangan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mengenai cabaran utama berkaitan isu Myanmar dan situasi di Laut China Selatan dalam pertemuan pelbagai hala dengan Hegseth.

“Penyelesaian kepada kedua-dua isu utama ini perlu diterajui dan dipacu oleh rangka kerja ASEAN. 

“Saya turut menegaskan kepentingan untuk semua pihak agar terus mendukung nilai dan teras utama ASEAN bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kestabilan rantau ini terus terpelihara,” katanya. 

Sementara itu, semasa pertemuan itu, Hegseth menyentuh tentang cabaran keselamatan bersama dan mengulangi komitmen kukuh AS terhadap rantau itu menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura.

Beliau berkata AS percaya kepada kerjasama praktikal dan perkongsian kukuh yang berasaskan nilai bersama.

AS akan meneruskan penglibatannya dengan rantau Asia Tenggara dan meningkatkan kerjasama pertahanan dengan negara ASEAN, termasuk melalui Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).

Hegseth turut mengetengahkan isu keselamatan siber sebagai satu daripada bidang baharu yang penting bagi kerjasama ASEAN-AS, seperti melalui Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber dan Maklumat ADMM (ACICE).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan