BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hukuman Penjara Leissner Terlalu Ringan - Johari

30/05/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Hukuman penjara dua tahun ke atas bekas pegawai institut kewangan Goldman Sachs Tim Leissner kerana penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap terlalu ringan.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam kenyataan hari ini berkata Leissner merupakan seorang daripada dalang skandal kewangan itu yang mengakibatkan penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB.

"Leissner memainkan peranan penting dalam memudah cara penipuan ini, menyalahgunakan kedudukannya dan reputasi sebuah institusi kewangan terkemuka dunia untuk menjalankan rancangan ini.

"Hukuman seringan ini berisiko menghantar mesej yang salah kepada institusi kewangan global seperti Goldman Sachs, yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan negara berdaulat," katanya.

Johari berkata penghukuman itu ialah peluang untuk menghantar mesej yang kuat kepada global bahawa jenayah kolar putih bakal berdepan akibat yang serius namun malangnya peluang itu terlepas.

Beliau turut membangkitkan mengenai pertikaian berterusan dengan Goldman Sachs berhubung jaminan pemulihan aset bernilai USD1.4 bilion yang timbul daripada perjanjian penyelesaian ditandatangani pada 2020.

"Perkara ini masih di bawah timbang tara. Ini menambah kepada kekecewaan orang ramai dan mengukuhkan persepsi bahawa individu berkuasa boleh melarikan diri dengan akibat yang minimum," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan