KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Rakyat perlu menumpahkan taat setia kepada kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berlandaskan prinsip Rukun Negara bagi memastikan segala agenda pentadbiran dan kemakmuran negara dapat dicapai.
Menerusi khutbah khas bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada Isnin ini, mimbar menjelaskan hal ini adalah bagi memastikan Malaysia berkembang pesat dalam keadaan seluruh rakyat hidup bahagia dan harmoni.
"Maka sepatutnya kita bersama-sama memelihara keamanan dan kesatuan yang telah terbina dan meninggalkan sebarang usaha negatif yang berhasrat merosakkan keharmonian ini.
"Semoga di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, ikrar Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan akan terus kukuh setia dalam sanubari setiap rakyat Malaysia semuanya," menurut khutbah itu.
Teks khutbah khas bertajuk "Dirgahayu Tuanku: Raja dikasihi, Negara Diberkati" disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni ketika siaran langsung Solat Jumaat menerusi TV1, hari ini.
Menyentuh mengenai sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, khutbah itu memaklumkan sistem tersebut menzahirkan hikmah dalam tadbir urus negara, berteraskan adat, undang-undang dan nilai-nilai Islam sekali gus membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang unik dan bertuah.
Menurut khutbah berkenaan, Islam menyanjung tinggi institusi kepimpinan yang adil dan berintegriti terutamanya kepimpinan bersikap rahmah terhadap seluruh warganya.
Dalam konteks Malaysia, khutbah menjelaskan Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai Ketua Utama Negara serta Ketua Agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar tradisi tetapi pemegang amanah Allah SWT sebagai ketua negara. Peranan raja berdiri atas konsep ‘Ulil Amri’ (pemegang autoriti) yang wajib ditaati selagi mana tidak bertentangan dengan perintah syarak,” katanya.
Selain itu, khutbah menekankan bahawa hubungan antara rakyat dan raja dalam Islam diikat dengan rasa hormat, taat serta doa antara satu sama lain dan ia merupakan antara prinsip penting dalam Islam yang mengutamakan hubungan simbiosis, harmoni dan saling menghormati demi kebaikan dan kesejahteraan kedua-duanya.
"Hubungan ini sudah tentu terbina atas dasar kasih sayang, keadilan dan ketaatan kepada Allah SWT. Hubungan saling mendoakan ini mencerminkan ikatan yang erat antara pemimpin dan rakyat.
"Hal ini selari dengan konsep ukhuwah Islamiah yang menekankan kasih sayang dan kerjasama dalam masyarakat Islam," menurut khutbah itu yang turut menekankan model ideal hubungan antara pemerintah dan rakyat iaitu saling menyayangi serta mendoakan kebaikan bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial