BELANJAWAN 2025 > BERITA

"Wellness Hub" Bantu Rakyat Dapatkan Bimbingan, Sokongan Bina Gaya Hidup Sihat

30/05/2025 12:05 PM

KOTA BHARU, 30 Mei (Bernama) -- Wellness Hub merupakan hab komuniti yang berfungsi mempromosi kesihatan kepada rakyat dalam mendapatkan bimbingan, sokongan serta intervensi bagi membina gaya hidup lebih sihat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu sangat selari dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara, peralihan daripada perkhidmatan berfokuskan rawatan menerusi sistem yang menumpukan kepada pencegahan dan kesejahteraan.

"Kesihatan adalah amanah yang wajib dijaga. Dalam kerangka Maqasid Syariah, menjaga nyawa dan kesihatan atau hifz al-nafs adalah antara objektif tertinggi dalam Islam, maka amat penting untuk kita meletakkan pencegahan dan kesejahteraan sebagai teras perkhidmatan kesihatan.

"Menjaga kesihatan bukan sekadar tahu apa yang perlu dilakukan tetapi mampu melakukannya secara konsisten, hari demi hari. Inilah peranan penting Wellness Hub, sebagai hab perubahan tingkah laku kesihatan yang membimbing, memotivasikan dan menyokong rakyat untuk mengubah cara hidup mereka secara kekal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Dr Dzulkefly berkata transformasi kesihatan memerlukan kerjasama menyeluruh bukan sahaja daripada KKM tetapi juga melalui pendekatan a whole-of-nation (keseluruhan negara) bersama kementerian lain, kerajaan negeri, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

"Di Kelantan, Wellness Hub mula beroperasi pada 2021 dengan hanya sebuah unit kabin kecil. Kini, dengan pembinaan bangunan dua tingkat yang siap sepenuhnya pada 2024, kapasiti telah meningkat daripada 15 kepada 80 peserta setiap sesi.

"Sejak 2021 hingga 2024, Wellness Hub Kelantan telah menerima kehadiran lebih 92,000 klien, sama ada secara fizikal mahupun maya," katanya.

Beliau berkata pelbagai perkhidmatan ditawarkan secara percuma termasuk saringan kesihatan, kaunseling gaya hidup sihat, pendaftaran MyCHAMPION dan jangkau luar melalui Zoomers Wellness on Wheels (WoW) bagi memastikan perkhidmatan ini dapat dibawa ke seluruh pelosok negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan