BELANJAWAN 2025 > BERITA

MAHAR Kecam Rejim Israel Sekat Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza

29/05/2025 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang menjadikan kebuluran sebagai senjata perang serta menyekat bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Dalam satu kenyataan, MAHAR berkata sebarang bentuk pengagihan bantuan yang bersifat selektif dan bermotifkan politik, seperti yang dicadangkan menerusi model bantuan melibatkan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) menjejaskan prinsip keneutralan serta integriti misi kemanusiaan sejagat.

Presiden MAHAR Jismi Johari berkata bantuan yang dipolitikkan bukan sahaja menafikan hak asasi rakyat yang dizalimi, tetapi turut memperalatkan penderitaan mereka sebagai alat tekanan politik.

“Ini merupakan satu pencabulan yang tidak boleh diterima,” katanya. 

 Pada 25 Mei, sekurang-kurangnya 36 nyawa terkorban, termasuk 18 kanak-kanak dalam satu serangan udara oleh Israel ke atas Sekolah Fahmi al-Jarjawi di Bandaraya Gaza yang ketika itu berfungsi sebagai pusat perlindungan.

Serangan itu menyebabkan kebakaran besar dan mengakibatkan beberapa mangsa terbakar hidup-hidup dan terperangkap di bawah runtuhan.

Jismi menggesa semua laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka serta-merta dan tanpa sebarang syarat.

“Penafian bantuan secara sengaja serta penggunaan kebuluran sebagai taktik perang adalah satu jenayah perang dan bentuk hukuman kolektif ke atas penduduk awam. Dunia tidak boleh terus berdiam diri,” katanya. 

Sementara itu, MAHAR menyambut baik pendirian tegas yang dinyatakan oleh ASEAN dalam kenyataan bersama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini.

Antara lain ASEAN  menyuarakan kebimbangan  terhadap konflik yang berlarutan di Gaza dan Timur Tengah serta keadaan kemanusiaan yang semakin merosot, mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas orang awam dan infrastruktur awam terutamanya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

ASEAN turut menyeru semua pihak agar melindungi orang awam serta mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengulas lanjut, Jismi berkata sudah tiba masa untuk ASEAN mengambil tindakan kolektif bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan yang bebas dan tidak berpihak, MAHAR komited untuk terus menyampaikan bantuan berlandaskan maruah, prinsip keneutralan serta akauntabiliti yang tinggi.

 MAHAR turut menyeru masyarakat antarabangsa agar menolak sebarang bentuk pempolitikan dalam penyaluran bantuan dan mengutamakan keselamatan serta kelangsungan hidup rakyat Gaza, katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan