Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Hobi memelihara ikan hiasan sejak usia 10 tahun menjadi titik permulaan kepada kejayaan Logeswaran Arumugam, 38, yang kini mengusahakan perniagaan akuarium moden dan eksklusif di bawah syarikat miliknya SLF Pearl Capital Sdn Bhd.
Terletak di Jalan Reko, Kajang, Selangor, perniagaan yang diasaskannya pada 2021 itu lahir daripada kecintaan beliau terhadap hidupan akuatik dan hasrat untuk berkongsi minat tersebut bersama masyarakat.
“Idea untuk membuka kedai ikan ini bermula daripada hobi. Semua pemegang saham syarikat turut berkongsi minat terhadap ikan hiasan, justeru tercetuslah usaha menjadikannya sebagai satu perniagaan.
“Kami mahu menyediakan lebih banyak pilihan barangan akuarium kepada peminat di luar sana,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Perniagaan tersebut diusahakan bersama dua orang abangnya, Perakash Arumugam dan Sakthi Vel Arumugam, berbekalkan modal permulaan dikumpul sendiri berjumlah antara RM250,000 hingga RM300,000.
Logeswaran berkata sejak penubuhan kedai tersebut, sambutan pelanggan amat menggalakkan terutama selepas pandemik COVID-19, dengan mencapai jualan kira-kira 40 tangki akuarium besar sebulan yang berukuran tiga hingga lapan kaki dengan harga RM1,500 hingga RM13,500.
Beliau yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata strategi pemasaran yang berkesan telah membolehkan syarikat itu mencatat pertumbuhan pesat dari tahun ke tahun.
“Tahun 2024 menyaksikan hasil jualan syarikat meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah perolehan sebanyak RM1.8 juta. Jadi, tahun ini, kami menyasarkan untuk menggandakan lagi pencapaian itu,” katanya dengan penuh keyakinan.
Menurut Logeswaran, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah syarikatnya merancang untuk memindahkan operasi perniagaan ke premis yang lebih besar dengan menggabungkan konsep kedai akuarium dan kafe di satu lokasi.
Beliau berkata kedai baharu itu dijangka dibuka pada Jun depan.
Selain menjual ikan hiasan, SLF Pearl Capital turut menawarkan khidmat pembinaan dan penyelenggaraan kolam ikan, penyewaan akuarium, serta penyelenggaraan profesional bagi akuarium sedia ada.
Sehingga kini, syarikatnya telah menyelenggara 706 akuarium, menjual 14,711 ekor ikan, memberi perkhidmatan kepada 9,215 pelanggan, menyelenggara 279 kolam ikan, menjual 376 tangki akuarium, serta membina atau memperbaharui 32 kolam ikan.
Antara spesies ikan hiasan yang popular di kedainya termasuklah tetra, koi, ikan emas, arowana ‘super red’, serta pari air tawar (stingray), dengan harga bermula serendah RM3 hingga RM16,000 seekor.
Logeswaran yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kawalan dan Instrumentasi) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, juga mempunyai pengalaman lebih 13 tahun dalam bidang kejuruteraan dan hartanah.
Bagi memperkukuh operasi, beliau juga menerima pembiayaan perniagaan daripada beberapa bank tempatan, yang dijamin oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP).
“Apabila kami menerima pembiayaan daripada Agrobank sebanyak RM150,000 pada April tahun lepas, kami dapat meningkatkan inventori, memperluas penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkenalkan produk baharu seperti hardscape,” katanya.
Selain itu, pembiayaan baharu daripada RHB dan Maybank akan digunakan untuk membiayai pemindahan ke premis baharu yang dijangka menelan kos kira-kira RM450,000 untuk kerja pengubahsuaian dan pembelian inventori baharu.
Menurutnya, syarikat itu juga akan memperbesar pasukan pembinaan dan perkhidmatan kolam ikan bagi memenuhi permintaan terhadap produknya yang semakin meningkat.
Logeswaran turut menyasar mencapai keuntungan bersih RM3 juta setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat berkenaan dalam industri akuarium tempatan.
“Nasihat saya bagi mereka yang mahu memulakan perniagaan ialah merancang terlebih dahulu, mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan tidak terburu-buru untuk mengembangkan perniagaan.
“Sentiasa bersedia untuk melaksanakan pelan dan strategi, hanya apabila ia terbukti sesuai, barulah mengembangkan perniagaan tersebut.
“Dari segi kewangan pula, rancang semua dokumen dan rekod dengan baik supaya mudah diterima bank. Cari bank yang disokong SJPP supaya mudah mendapatkan dana tanpa perlukan cagaran,” katanya.
Selain itu, Logeswaran berharap agar usahawan tidak mudah berputus asa dalam memajukan perniagaan dan memanfaatkan segala peluang yang disediakan oleh kerajaan.
“Dengan sokongan melalui pelbagai inisiatif pembiayaan dan bantuan, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025, saya yakin usahawan akan terus berkembang dan berjaya," katanya.
Usaha Logeswaran itu selari dengan tumpuan kerajaan terhadap pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kini menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling, kerajaan menyokong perkembangan syarikat tempatan di semua tahap dan ini terbukti menerusi Belanjawan 2025, antara lainnya melalui peruntukan RM20 bilion bagi jaminan di bawah SJPP untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah berkata pada Feb lepas, lebih 14,000 PKS menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM18.5 bilion menerusi inisiatif SJPP sepanjang tahun lepas.
Tambah beliau, PKS tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan lebih 75,000 PKS yang mendapat manfaat daripada SJPP sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April 2009 hingga Disember tahun lalu membabitkan pembiayaan lebih RM102 bilion.
Pada 5 Mei lepas, kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan sebanyak RM1 bilion di bawah SJPP khusus untuk membantu pengeksport PKS yang mahu mendapatkan pinjaman akibat terjejas selepas susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial