KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pengembaraan pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam negara Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin dalam misi ‘Journey to Tanah Haram’ hampir ke penghujung apabila mereka dijangka tiba di Madinah dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.
Setelah merentasi beberapa negara dengan berbasikal serta menggunakan pengangkutan darat dan udara, mereka kini berada di Qassim, Arab Saudi selepas berkayuh dari Riyadh ke Al-Ghat dan sedang bersiap untuk berkayuh sejauh 120 hingga 150 kilometer (km) dari Al Henakiyah sebelum menjejakkan kaki di Madinah.
Muhammad Muqharabbin dalam kenyataan berkata beliau mengalami kekejangan otot akibat cuaca panas dan terpaksa berehat selama dua malam di pekan Qassim.
“Kami memohon doa daripada semua bagi mengharungi hari-hari terakhir menjelang Madinah,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Amar berkongsi ‘keajaiban’ yang dialami ketika misi itu termasuk tayar basikal pancit di lokasi strategik antaranya di depan bengkel kenderaan atau di tempat teduh serta diberikan minuman dan makanan oleh penduduk.
“Kami kerap ditawarkan penginapan percuma oleh rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi… Kami tidak sangka dapat bantuan sebegini, kami cuba elak menyusahkan mereka, tetapi Allah telah aturkan segala-galanya,” katanya.
Amar berkata perbelanjaan bagi misi itu juga tidak mencecah RM12,000 kerana ramai yang membantu meringankan beban mereka.
Misi kayuhan yang dilepaskan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu bermula di Padang Besar, Perlis pada 27 April lepas antaranya melalui Thailand, Iran, UAE dan Arab Saudi.
Misi yang dirancang melalui India dan Pakistan sebelum ke Iran itu terpaksa diubah haluan susulan konflik melibatkan kedua-dua negara berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial