BELANJAWAN 2025 > BERITA

UDA Tawar 422 Unit Hartanah, Terus Perkukuh Pasaran Wilayah Selatan

24/05/2025 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju hartanah dan pengurusan aset, terus memperkukuh kehadirannya di Johor dengan menawarkan 422 unit hartanah yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat bagi memperkasa pemilikan hartanah di kawasan bandar.

UDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu sejajar dengan komitmen syarikat berkenaan untuk memperkasa komuniti dan menyediakan akses pemilikan hartanah yang lebih inklusif khususnya kepada golongan bumiputera di kawasan bandar.

“Ia turut mencerminkan kejayaan UDA selama lima dekad dalam menerajui pembangunan bandar di Johor seperti Bandar Baru UDA, Pusat Bandar Tampoi, Skudai Kanan dan Bandar UDA Utama,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah proaktif, UDA turut melancarkan Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights dan melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi nilai tambah kepada pembeli serta memperteguh kesejahteraan komuniti setempat.

Melalui promosi itu, UDA menawarkan baucar IKEA Tebrau berjumlah RM20,000 untuk 10 pembelian terawal hartanah kediaman dan komersial UDA di Johor, dengan setiap pembelian menerima RM2,000 selain pengecualian kos guaman serta duti setem bagi hartanah yang sedang dibangunkan.

“Antara projek yang ditawarkan ialah rumah teres dua tingkat, rumah banglo, rumah berkembar dua tingkat, rumah teres setingkat serta kedai pejabat dua dan tiga tingkat,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, UDA memperkenal promosi pendaftaran bagi projek baharu yang akan dilancar pada tahun ini dan 2026.

Menurut UDA, inisiatif itu memberi peluang kepada pembeli memiliki hartanah daripada pelbagai jenis rumah bandar dua dan tiga tingkat, apartmen servis 35 tingkat serta kedai murah satu tingkat.

“Projek yang sedang dibangun dan dirancang ini menekankan konsep amalan pembinaan hijau selari dengan usaha menyokong matlamat pembangunan mampan untuk kepentingan gaya hidup lestari selain mengutamakan aspek keselamatan secara inklusif dan holistik demi kesejahteraan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Johari Shukri Jamil dalam ucapannya berkata pemilikan hartanah bumiputera lebih 70 peratus bagi pembangunan hartanah yang dilaksanakan di Johor khususnya di daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi menunjukkan UDA komited menggalas peranan dalam meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mencapai matlamat tersebut dan inisiatif ini diperhebatkan lagi dengan Majlis Promosi Jualan pada hari ini.

"Objektif utama majlis ini adalah untuk mempromosi kempen jualan hartanah MeiRiah Tawaran Hebat bersempena dengan bulan Mei ini,” katanya.

Sepanjang Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights selama dua hari bermula hari ini, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk pertandingan mewarna, saringan kesihatan percuma (KPJ Healthcare) dan sesi dekorasi bersama IKEA Tebrau.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat promosi terkini boleh mengunjungi Galeri Jualan UDA Land (South) Sdn Bhd terletak di Wisma SBBU, Bandar Baru UDA, Johor Bahru atau layari laman sesawang www.udaproperty.com.my.

Sila layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan