BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pembangunan Ekonomi Hidrogen Sarawak Hadapi Pelbagai Cabaran - Dr Hazland

22/05/2025 12:26 PM

KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Pembangunan ekonomi hidrogen di Sarawak menghadapi beberapa cabaran kerana ia adalah sumber tenaga yang masih baharu berbanding industri lain yang telah lama wujud.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata pada masa ini ekonomi negeri itu masih bergantung kepada sektor minyak dan gas, sekali gus menyukarkan usaha penerimaan penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga baharu.

Beliau berkata pelabur mungkin lebih cenderung memilih industri yang telah kukuh dengan pulangan lebih cepat berbanding pasaran hidrogen yang baru berkembang.

“Pembinaan infrastruktur hidrogen memerlukan pelaburan awal yang besar. Sebaliknya, industri yang telah lama wujud biasanya boleh bergantung pada infrastruktur sedia ada, membolehkan pulangan yang cepat.

“Selain itu, pengeluaran hidrogen terutamanya hidrogen bersih memerlukan kemahiran teknikal khusus yang masih dalam proses pembangunan di Sarawak. Mewujudkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran ini memerlukan pelaburan yang besar dalam program latihan dan inisiatif pendidikan, yang akan mengambil masa untuk membuahkan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Miro Simuh (GPS-Serembu) yang ingin tahu tentang cabaran dalam pembangunan ekonomi hidrogen dan pulangan segera kepada ekonomi pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dr Hazland berkata meskipun pembangunan ekonomi hidrogen memerlukan pelaburan awal yang besar, kerajaan negeri yakin ia akan membina asas yang kukuh untuk masa depan Sarawak sebagai peneraju dalam ekonomi hidrogen.

Beliau berkata trend pasaran global untuk hidrogen bersih yang dianggarkan bernilai US$1.41 bilion pada 2021 dijangka meningkat kepada US$5.95 bilion menjelang 2030, terutamanya disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga bersih seperti bahan api marin dan penerbangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan