JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan rekaan ilustrasi terbaharu Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kad LMM terkini itu yang diedarkan secara berperingkat di seluruh negara bermula hari ini bagaimanapun hanya untuk pemohon kategori warganegara yang akan ke luar negara dan bukan warganegara.
Beliau berkata bagi pemohon biasa yang membuat pembaharuan lesen, mereka hanya memperolehi lesen digital.
“Kita tahu tidak semua negara menerima aplikasi MyJPJ, Singapura sudah terima tetapi ada negara luar yang tidak terima lesen memandu secara digital.
“Jadi, mereka perlu membawa lesen fizikal dan permit memandu antarabangsa (IDP) yang boleh dimohon di JPJ sebab setiap negara mempunyai peraturan berbeza,” katanya pada sidang media di IM Intensif Sdn Bhd Adda Height di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata rekaan ilustrasi LMM versi terkini berupaya mencegah unsur-unsur pengubahsuaian dan pemalsuan kad, serta mempunyai daya tahan penggunaan untuk tempoh maksimum 10 tahun.
Beliau berkata LMM versi terkini mempunyai gambar latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad dan motif abstrak gelombang di bahagian hadapan serta Istana Negara dan motif abstrak flora di bahagian belakang.
“Cetakan kad LMM untuk kategori yang dibenarkan pada masa ini telah berlangsung secara berperingkat di cawangan-cawangan JPJ tertentu bagi memberi masa kepada tempoh peralihan daripada sistem kad versi sebelumnya kepada versi terkini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata JPJ menambah baik tiga elemen perlesenan dan pengoperasian secara berperingkat di 248 buah institusi memandu (IM) seluruh negara bagi meningkatkan integriti, kualiti serta menangani isu berbangkit.
“Ia membabitkan menambah baik garis panduan permohonan penubuhan IM baharu, menggalakkan pembangunan sistem eTesting dan Pusat Ujian Berkomputer KPP01 kepada semua IM serta menambah baik operasi khas penguatkuasaan di IM,” katanya.
Beliau berkata penambahbaikan garis panduan penubuhan IM baharu bertujuan memastikan penyediaan perkhidmatan itu mencukupi di kawasan yang padat penduduk dan tempoh menunggu calon melengkapkan proses pembelajaran yang tinggi.
“Seperti di Klang, Selangor, ada calon yang terpaksa menunggu selama tiga bulan untuk menyempurnakan proses pembelajaran tetapi ada sebahagian tempat seperti di IM Intensif Adda Height di sini hanya memerlukan sebulan sahaja tempoh pembelajaran,” katanya.
Mengenai Operasi Khas Penguatkuasaan IM (OKIM) di Johor hari ini, beliau berkata dua IM misalnya didapati melakukan 80 kesalahan antaranya pengajar mengajar lebih calon, calon belajar tanpa pengawasan pengajar, tiada Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), merokok semasa mengajar dan gagal mengemukakan rekod mengajar (SM4),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial