BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sapura Industrial, Syarikat Dari China Bina Kemudahan Komponen Bateri Di Malaysia

20/05/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Sapura Industrial Bhd (SIB) melalui anak syarikat milik penuhnya, SIB Ventures Sdn Bhd menjalin usaha sama bersama syarikat berpangkalan di China, Zhejiang Zhongze Precision Technology Co Ltd.

Usaha sama itu bagi membina kemudahan pembuatan komponen struktur berketepatan tinggi bagi bateri litium di Malaysia.

SIB akan memegang 51 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama berkenaan yang akan mempunyai modal berbayar sebanyak RM18 juta.

Pengeluar komponen automotif itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, kerjasama yang dimeterai melalui surat hasrat yang mengikat tersebut akan menyediakan akses kepada peluang pasaran baharu bagi keupayaan pembuatan SIB.

Selain itu, ia mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rakan kongsi pertumbuhan yang dipercayai di Malaysia dan juga di rantau ini.

SIB berkata surat hasrat berkenaan memformalkan hasrat kedua-dua pihak untuk bekerjasama sekali gus membuka laluan kepada rundingan lanjut serta memuktamadkan perjanjian usaha sama selain dokumen berkaitan yang lain.

“Usaha sama ini merupakan langkah strategik bagi SIB serta anak-anak syarikatnya untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam ekosistem penyimpanan tenaga dan bateri sekali gus menyokong inisiatif pembuatan berorientasikan eksport,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan