BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Lancar "RIBAT" HMLTV Pertama Keluaran Negara

20/05/2025 12:03 PM

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan “RIBAT”, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) pertama yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF).

Pelancaran tersebut bersempena acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Lebih menarik, RIBAT dinamakan sendiri oleh Perdana Menteri yang membawa nilai simbolik tinggi, serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi.

RIBAT merujuk kepada amalan menjaga dan mengawal di persempadanan untuk mempertahankan keselamatan umat. Ia melambangkan kesiapsiagaan, keberanian, dan semangat pengorbanan demi tanah air.

Pada majlis itu, Anwar menyaksikan majlis mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MILDEF dengan syarikat pertahanan utama Indonesia PT PINDAD dan kerjasama tersebut membuka peluang eksport, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.

Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara MILDEF dengan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), iaitu sebuah agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan.

MoA itu bagi memfokuskan usaha kepada pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal yang akan direka bentuk sepenuhnya dalam negara.

Pada pemeteraian perjanjian tersebut, MILDEF diwakili Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohd Nizam Kasa manakala PT PINDAD diwakili Sigit Puji Santosa, sementara STRIDE diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar, turut menyaksikan majlis mendatangani perjanjian berkenaan.

Sementara itu, MILDEF dalam kenyataan memaklumkan pelancaran tersebut mengesahkan kedudukan syarikat itu sebagai peneraju industri pertahanan darat negara, sekali gus menjadikannya sebagai pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional yang berjaya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

MILDEF memaklumkan bahawa RIBAT dibangunkan jurutera tempatan dengan sokongan kemudahan kejuruteraan bertaraf industri di Seremban serta Sepang dan ia dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka untuk misi seperti rondaan, konvoi dan operasi khas.

Pengarah Urusan MILDEF Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata pelancaran RIBAT bukan sahaja mencerminkan keupayaan industri tempatan, malah menjadi manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasakan ekosistem pertahanan yang berdikari dan berimpak tinggi.

“RIBAT merupakan hasil inovasi tempatan yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna sistem pertahanan, tetapi pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2005, MILDEF berkembang daripada sekumpulan jurutera muda menjadi pemain utama industri pertahanan nasional, dengan kejayaan membina pelbagai aset seperti kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) Tarantula, Rentaka 4x4 dan kini HMLTV RIBAT.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan