BELANJAWAN 2025 > BERITA

TFST Pulihkan 166 Projek Perumahan Swasta Lebih RM11 Bilion Hingga April

19/05/2025 07:36 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan 166 projek perumahan swasta melibatkan 19,205 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11.58 bilion bagi tempoh 1 Jan hingga 30 April lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada jumlah itu, 49 projek berjaya dipulihkan bagi tempoh 1 hingga 30 April, merangkumi 7,413 unit rumah dengan nilai GDV RM3.96 bilion.

“Daripada 49 projek yang berjaya ditangani pada April, sebanyak 45 projek berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan empat projek sakit telah kembali menjadi projek lancar,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat TFST Bilangan 3/2025 hari ini.

Beliau memaklumkan hingga 30 April lepas, TFST telah mengesan dan memantau 233 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai lewat, 339 projek sakit dan 114 projek terbengkalai di seluruh negara.

Berdasarkan perbandingan dengan data pada 31 Mac lepas, jumlah projek sakit telah mencatatkan penurunan daripada 360 kepada 339 manakala projek lewat turut menunjukkan penurunan daripada 267 kepada 233.

“Secara keseluruhan, projek ini melibatkan nilai GDV RM101.98 bilion dan merangkumi 119,964 unit rumah,” katanya.

Beliau berkata TFST akan terus memainkan peranan sebagai platform penyelesaian dalam menangani isu projek perumahan swasta yang bermasalah dengan mengemukakan cadangan penyelesaian yang berkesan bagi melindungi kepentingan pembeli.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan