BELANJAWAN 2025 > BERITA

'Saya Dah Biasa Pergi Jauh' Kata Anggota FRU

13/05/2025 10:31 PM

TELUK INTAN, 13 Mei (Bernama) -- "Jangan risau, saya dah biasa kerja jauh-jauh," itu antara kata-kata terakhir Koperal Amiruddin Zabri kepada isterinya Norazian Mohd Joned, 38, sebelum dilaporkan terkorban bersama lapan yang lain dalam nahas di Teluk Intan, hari ini. 

Norazian berkata dia mengganggap tugasan Amiruddin, 38, ke Teluk Intan adalah tugas biasa, namun tidak menyangka suaminya antara yang terkorban dalam nahas itu. 

Menurutnya dia menerima berita kejadian itu menerusi rakan sekerja yang memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan Unit 5 dari Sungai Senam.

Dia kemudian menghubungi Amiruddin namun tidak berjawab lalu dia menghubungi rakan sekerja suaminya dan dimaklumkan Amiruddin telah meninggal dunia. 

Katanya kali terakhir dia bertemu arwah ialah tengah hari semalam ketika suaminya bersiap hendak bekerja. 

"Saya reda namun terkilan kerana dia sangat teruja menyambut kelahiran anak perempuan kami (kini berumur setahun) yang ditunggu selama 10 tahun," katanya yang ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, di sini. 

Norazian yang tinggal di Gopeng berkata suaminya berkhidmat dalam pasukan polis sejak 2011 dan sebelum ini ditempatkan di beberapa kawasan termasuk di Johor sebelum ditugaskan di Sg Senam, Ipoh. 

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi kenderaan FRU dinaiki lapan anggota yang dalam perjalanan ke Ipoh selepas satu penugasan di Teluk Intan dirempuh sebuah lori muatan batu, menyebabkan lapan anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan