KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Penstrukturan semula yang ketara dalam pegangan saham Digital Nasional Bhd (DNB) disahkan melalui Surat Perubahan yang baru dimeterai perjanjiannya hari ini.
Ia akan mengubah terma penting dalam perjanjian pemegang saham seperti yang dipersetujui pada 28 Jun 2024.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CDB berkata perjanjian yang disemak semula itu melibatkan Infranation Sdn Bhd (CelcomDigi) iaitu anak syarikat milik penuh CelcomDigi Bhd (CDB) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MoF Inc].
Turut terlibat dalam semakan semula perjanjian berkenaan iaitu YTL Power International Bhd (YTL Power), Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan DNB.
Di bawah terma baharu, U Mobile akan melupuskan keseluruhan 100,000 sahamnya dalam DNB kepada MoF Inc, YTL, CelcomDigi dan Maxis.
Setiap syarikat yang terlibat akan memperoleh sebahagian daripada saham tersebut pada harga RM1.00 sesaham dengan jumlah harga pengambilalihan sebanyak RM100,000.
Urus niaga ini dijadualkan selesai pada 30 Mei 2025.
Pecahan pengambilalihan saham seperti berikut: MoF Inc – satu saham (RM1); YTL – 33,333 saham (RM33,333); CelcomDigi – 33,333 saham (RM33,333) dan Maxis – 33,333 saham (RM33,333).
Melalui urus niaga ini, U Mobile melepaskan hak untuk melaksanakan sebarang opsyen jual atau beli yang sebelum ini tersedia di bawah perjanjian pemegang saham.
Selepas pengambilalihan itu, struktur pemilikan DNB disemak semula.
MoF Inc akan memegang modal saham terbitan sebanyak RM500,100,002, mewakili 41.67 peratus daripada jumlah pemilikan gabungan tanpa sebarang pendahuluan pemegang saham.
YTL, CelcomDigi dan Maxis masing-masing akan memegang modal saham terbitan sebanyak RM133,333 serta menyediakan pendahuluan pemegang saham sebanyak RM233,233,333 yang menghasilkan masing-masing pegangan pemilikan sebanyak 19.44 peratus dalam DNB.
Sementara itu, CDB berkata Surat Perubahan itu tidak akan memberi impak material terhadap pendapatan sesaham (EPS), aset bersih sesaham (NAPS), tahap hutang, modal saham atau pegangan langsung atau tidak langsung pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.
Dalam makluman berasingan, Maxis berkata MoF Inc akan melaksanakan opsyen jualnya untuk menjual saham biasa selain memindahkan pendahuluan pemegang sahamnya dalam DNB dalam tempoh sebulan iaitu selepas 12 Nov, 2025.
Garis masa ini boleh dilanjutkan jika dipersetujui bersama secara bertulis oleh MoF Inc, YTL, CelcomDigi dan Maxis.
"Jika MoF Inc gagal melaksanakan opsyen jual dalam tempoh yang dinyatakan, opsyen jual tersebut akan luput dan pemegang saham yang tinggal boleh mengaktifkan opsyen beli mereka dalam tempoh sebulan selepas itu," katanya.
Maxis menjelaskan pelaburan yang dicadangkan tidak akan memberi impak material terhadap EPS, NAPS atau tahap hutang kumpulan bagi tahun kewangan 2025.
Sebarang perkembangan material lanjut akan diumumkan pada masa yang sesuai, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial