BELANJAWAN 2025 > BERITA

11,396 Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Tanah Suci Setakat Ini

12/05/2025 04:57 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 12 Mei (Bernama) -- Seramai 11,396 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci setakat ini, menerusi 39 penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata daripada jumlah itu, 5,253 jemaah kini berada di Madinah, manakala 6,143 jemaah lagi di Makkah.

“Setakat ini, sebanyak 39 penerbangan jemaah haji telah selamat berlepas dari Malaysia dan semuanya telah mendarat di Lapangan Terbang Madinah. Ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 47 penerbangan yang dijadualkan tiba di Madinah.

“Insya-Allah, mulai 14 Mei ini, penerbangan ke Jeddah pula akan bermula dan jemaah akan terus bergerak ke Makkah bagi menunaikan umrah sebelum mengerjakan ibadah haji,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Bagi musim haji kali ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dan mereka dijangka tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat.

Kumpulan pertama (KT1) terdiri daripada 112 jemaah lelaki dan 141 jemaah wanita selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah, pada 29 April, manakala penerbangan terakhir dijadual pada 1 Jun.

Mohd Hisham berkata jemaah haji Malaysia yang telah berada di Makkah, setakat ini telah menyempurnakan ibadah umrah masing-masing dengan lancar.

“Sepanjang tempoh menanti hari wukuf di Arafah, Lembaga Tabung Haji (TH) telah merangka pelbagai program pengisian, termasuk sesi bimbingan ibadah secara berterusan bagi memastikan jemaah sentiasa bersedia secara fizikal dan rohani untuk menghadapi kemuncak ibadah haji,” katanya.

Mohd Hisham berkata sehingga kini, seramai 2,059 jemaah telah mendapatkan rawatan kesihatan  di pusat kesihatan TH, dengan isu kesihatan paling kerap dilaporkan termasuk penyakit berkait saluran pernafasan seperti batuk dan selesema, diikuti masalah kulit kering akibat cuaca panas dan kering.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci untuk melakukan senaman ringan ketika dalam penerbangan kelak, bagi melancarkan peredaran darah dan mengurangkan risiko deep vein thrombosis (DVT), iaitu pembekuan darah yang boleh menjejaskan organ dalaman.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan