BELANJAWAN 2025 > BERITA

2,361 Haiwan Liar Mati Dilanggar Kenderaan Sepanjang Lima Tahun

12/05/2025 03:31 PM

CHUKAI, 12 Mei (Bernama) -- Sebanyak 2,361 haiwan liar dilaporkan mati dilanggar kenderaan di atas jalan di seluruh negara sejak 2020 hingga kini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dalam tempoh itu Pahang menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kematian haiwan liar akibat kemalangan iaitu 765 ekor, diikuti Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201), dan Negeri Sembilan (187).

“Kalau kita lihat spesies pula, seperti gajah mencatatkan lapan kematian iaitu seekor pada 2020, masing-masing dua ekor pada 2021 dan 2024, dan setakat tahun ini kita telah merekodkan tiga ekor (termasuk kematian anak gajah yang tular semalam). 

“Harimau Malaya pun kita tengok ada sedikit peningkatan dengan 2020 hingga 2022 tiada kematian direkodkan tetapi pada 2023 merekodkan satu kematian manakala 2024 sebanyak tiga ekor dan setakat tahun ini ada seekor Harimau Malaya terlibat dengan kematian di atas jalan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di sini hari ini. 

Semalam, tular di media sosial gambar dan video seekor anak gajah yang dilanggar terperosok di bawah sebuah lori kontena dan seekor gajah dewasa dipercayai ibunya sedang cuba mengalihkan lori tersebut bagi menyelamatkan anaknya. 

Kejadian yang meruntun hati warga maya itu berlaku awal pagi semalam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak.

Nik Nazmi berkata kerajaan telah dan sedang mengambil pelbagai inisiatif bagi membendung masalah kematian haiwan liar termasuk gajah di atas jalan, antaranya menambah peruntukan kepada RM250 juta pada tahun ini bagi membolehkan kerajaan negeri terlibat meningkatkan kawasan hutan simpan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga sedang berusaha mewujudkan lebih banyak santuari gajah termasuk di Johor, Pahang, Perak dan Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata hingga Mac tahun ini sebanyak 90,024 kenderaan telah diperiksa menerusi Ops Gerak dan daripada jumlah itu 248 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata Ops Gerak dijalankan bagi mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan bermotor, khususnya memastikan pematuhan standard pelepasan asap hitam, gas dan bunyi bising yang ditetapkan bagi membendung pencemaran udara.

“Pada operasi hari ini, 21 kenderaan telah diperiksa termasuk lori diesel, lori petrol, van petrol dan motosikal. Daripada jumlah itu hanya satu kenderaan diberikan notis kerana bunyi bising,” katanya yang turut memantau dan melakukan pensampelan kualiti bahan api khususnya diesel Euro 5 di stesen minyak berhampiran lokasi operasi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cuaca panas dan kering tidak menentu yang melanda negara ketika ini dan dijangka berterusan hingga pertengahan atau hujung Mei, Nik Nazmi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian dan jabatan berkaitan untuk menyelaraskan segala tindakan.

Beliau juga berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari ASEAN berkaitan pelbagai perkara termasuk cuaca panas serta perubahan iklim.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan