BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPDN Pantau Ketat Harga, Bekalan Telur Berikutan Pengurangan Subsidi

03/05/2025 01:36 PM

KIMANIS, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau ketat harga dan bekalan telur berikutan pengurangan subsidi terhadap barangan itu yang bermula Khamis lepas (1 Mei), kata Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata walaupun subsidi itu dikurangkan, harga telur masih tertakluk kepada harga kawalan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Saya bukan hanya mengharap, tetapi memberikan penegasan dan mengingatkan semua pihak masih terikat dengan harga kawalan telur di pasaran, jangan sesekali naikkan (harga) sesuka hati. Pegawai kita memantau bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Turun Padang dan Pelancaran Produk RON97 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan Berhad Azureen Azita Abdullah.

Pada Rabu lepas, kerajaan mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan manakala kadar subsidi dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa Khamis lepas sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Menurut KPKM, keputusan itu dibuat setelah pihak industri memberi komitmen untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin selain mengambil kira tempoh kawalan harga serta pemberian subsidi yang terlalu lama tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.

Armizan berkata keputusan pengurangan subsidi itu dibuat kerajaan setelah dibincangkan sejak sekian lama, dan mengambil kira risiko kenaikan harga serta langkah memastikan bekalan sentiasa berada di pasaran.

Beliau berkata KPDN turut melaksana pelbagai operasi bagi memantau harga serta bekalan barangan, termasuk telur ayam malah kerajaan menubuhkan jawatankuasa khusus bagi menyelaras tindakan diambil dalam memastikan kestabilan harga serta keberadaan bekalan di pasaran.

Orang ramai diminta menggunakan pelbagai platform aduan KPDN bagi melaporkan sebarang isu mengenai harga atau bekalan telur juga barangan keperluan lain di pasaran, dan pihaknya akan menyiasat aduan dalam tempoh 24 jam.

“Rakyat boleh salurkan jika terdapat penjualan harga telur tidak mengikut harga kawalan, komitmen KPDN bahawa setiap aduan berkaitan harga kita susur 24 jam, jadi letak aduan di platform dan kita akan ambil tindakan segera sekiranya ada pihak naikkan harga telur ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan