BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Buat Persiapan Rapi Hadapi Rundingan Tarif Rasmi AS, Lindungi Sektor Komoditi - Johari

02/05/2025 10:38 PM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Malaysia sedang melakukan persiapan rapi bagi rundingan tarif rasmi dengan Amerika Syarikat (AS), dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengutamakan keperluan untuk melindungi kepentingan sektor komoditi negara khususnya sawit.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata meskipun AS bukan pembeli terbesar produk sawit Malaysia namun, eksport ke negara itu tetap signifikan dan bernilai strategik.

“Kita telah menyalurkan semua fakta dan maklumat kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk digunakan dalam rundingan akan datang.

“Contohnya, bagi kelapa sawit, walaupun AS bukan pembeli utama, kita masih mengeksport hampir RM4.9 bilion setahun ke sana,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Malam Gala Jubli Perak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Beliau berkata pasaran eksport terbesar bagi sawit Malaysia ketika ini ialah Eropah, India dan China, yang secara kolektif menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah eksport.

“Kita tidak boleh ketepikan AS, kerana selain sawit, kita juga mengeksport komoditi lain seperti sarung tangan getah -- lebih RM8 bilion setahun, produk kayu (bernilai) hampir RM6.5 bilion, dan koko hampir RM1.6 bilion. Jumlah keseluruhan eksport komoditi kita ke AS sahaja sekitar RM20 bilion hingga RM21 bilion,” katanya.

Johari berkata angka itu menunjukkan rundingan tersebut amat penting bagi sektor komoditi negara, yang mencatatkan jumlah keseluruhan eksport sekitar RM186 bilion setahun ke seluruh dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada masa ini produk sawit Malaysia dikenakan tarif AS sebanyak 10 peratus dan ditambah 24 peratus manakala Indonesia yang dikenakan 10 peratus dan ditambah sebanyak 32 peratus.

“Kita ada sedikit kelebihan berbanding Indonesia tetapi kelebihan ini bukan bermakna kita boleh leka. Kita juga perlu terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara lain,” katanya.

Beliau berkata usaha penglibatan dan diplomasi dengan pembeli utama di seluruh dunia perlu diteruskan memandangkan permintaan dan kapasiti pasaran yang besar di luar AS.

Pada 29 April, MITI mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding Malaysia untuk rundingan tarif rasmi akan datang dengan AS.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AS juga telah menamakan seorang daripada kalangan penolong wakil perdagangan Amerika Syarikat (USTR) untuk mengetuai rundingan itu.

Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan selepas Kabinet Malaysia memberikan kelulusan.

Antara bidang tumpuan utama adalah mengurangkan tarif dan menyelesaikan halangan bukan tarif -- terutama dalam pertanian -- dengan lebihan perdagangan Malaysia dengan AS kini berjumlah US$25 bilion (US$1=RM4.34), katanya kepada pemberita semasa majlis rumah terbuka MITI, di sini, Khamis lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan