PORT DICKSON, 30 April (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar menggariskan empat teras sebagai panduan utama pemerintahan sepanjang tempoh beliau menerajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata teras berkenaan adalah kesiagaan operasi, pelaburan dan pembangunan modal insan yang holistik, kelestarian dan kesejahteraan kehidupan warga ATM serta memperkukuh diplomasi pertahanan dan hubungan ketenteraan.
“Empat falsafah ini sangat penting untuk dihayati, tidak hanya menjadi hiasan di dinding tetapi diterjemahkan secara nyata dalam bentuk pelan tindakan untuk difahami dan dilaksanakan sepenuhnya di setiap peringkat pemerintahan,” katanya ketika menyampaikan perutusan Perintah Ulung Panglima ATM ke-23 di Dewan Auditorium, Kem Segenting di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Mohd Nizam berkata setiap pelan pembangunan dan pemantapan keupayaan ATM mesti dilaksanakan secara berterusan, dipantau dan ditambah baik secara sistematik serta berfasa, sejajar dengan hala tuju yang telah digariskan serta kemampuan kewangan.
Beliau berkata selain itu ia harus menepati enam ciri utama Angkatan Masa Hadapan (AMH) iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, berorientasikan misi, berupaya beroperasi serentak di dua wilayah dan kecekapan logistik.
"Melangkaui dimensi tradisional darat, laut dan udara, kesiagaan ATM kini perlu diperluaskan kepada domain keempat iaitu siber dan elektromagnetik yang seiring dengan kemunculan bentuk ancaman bukan kinetik bersifat disruptive (mewujudkan gangguan) serta sukar dikesan.
"Bagi memperkukuh pertahanan dalam domain ini, ATM akan menubuhkan Markas Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik (MPSE) sebagai inisiatif strategik. Oleh itu saya menyeru semua panglima perkhidmatan memberikan komitmen padu dalam merealisasikan pembangunan MPSE sebagai sebahagian daripada struktur pertahanan negara yang lebih menyeluruh," katanya.
Sementara itu Mohd Nizam turut menggariskan slogan ‘Duty, Honour, Sacrifice’ yang akan menjadi paksi kepada falsafah pemerintahannya.
Beliau berkata ia bukan sekadar slogan, tetapi pegangan hidup dan asas pemikiran dalam setiap aspek kepimpinan serta pelaksanaan tugas bagi peneraju kepada pembaharuan kelestarian organisasi.
Mohd Nizam berkata transformasi dilakukan tidak boleh bersifat luaran atau bersandar kepada kosmetik, ia menuntut pembaharuan menyeluruh yang bermula dengan cara berfikir, membuat keputusan dan membentuk budaya kerja.
"Kita tidak boleh terikat dengan cara lama atau berada dalam zon selesa. ATM mesti berani memecah kebiasaan, menyesuaikan diri secara progresif dan berkembang setara dengan kehendak zaman. Jika tidak, ia berisiko menjadi lapuk, terasing dan gagal memahami realiti baharu dalam pertahanan moden,” katanya.
Mohd Nizam berkata keberanian itu menjadi asas kepada perubahan diperlukan untuk membina sebuah angkatan yang diyakini oleh rakyat dan disegani dunia.
Beliau turut mengingatkan agar hubungan erat dengan angkatan tentera negara serantau dan antarabangsa mesti terus diperkukuh melalui rangkaian diplomasi dua hala dan pelbagai hala.
“Kerjasama ini dapat membina kepercayaan antara kepimpinan tentera, di samping membuka ruang kepada pembangunan bersama, perkongsian teknologi, latihan gabungan dan pembentukan jaringan keselamatan serantau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial