EKONOMI > BERITA

PHARMANIAGA TEGASKAN KOMITMEN TERHADAP PEMULIHAN KEWANGAN UNTUK KELUAR DARIPADA PN17

11/05/2024 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd menegaskan komitmennya terhadap pemulihan kewangan dalam situasi pandangan yang diberikan oleh juruaudit bebas PricewaterhouseCoopers (PWC) mengenai penyata kewangannya bagi 2023, bertarikh 29 Mac, 2024.

Syarikat itu memberi jaminan kepada pemegang saham mengenai kemajuannya yang kukuh, disokong asas perniagaan yang berdaya tahan di samping strategi yang jelas untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Sebelum ini, firma audit itu membangkitkan isu keupayaan Pharmaniaga untuk meneruskan langkahnya memandangkan kebimbangan berterusan berdasarkan kewangan 2023 syarikat tersebut.

Pengarah Eksekutif Pharmaniaga Zulkifli Jafar berkata komitmen syarikat terbukti dengan pelan hala tuju terperinci ke arah pemulihan kewangan yang dikeluarkan melalui pengumuman yang diperlukan pada November 2023, dan seterusnya menerusi penyerahan pelan penstrukturan semula kepada Bursa Malaysia Securities pada Februari tahun ini.

Pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Bursa Malaysia bagi pelan penstrukturan semula itu dan dalam masa sama menetapkan strategi holistik untuk meningkatkan ekuiti dan meminimumkan kerugian terkumpul syarikat, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata pendekatan itu memberi tumpuan kepada pengurangan modal kira-kira RM180 juta modal saham terbitan, pengumpulan dana sebanyak RM354.6 juta melalui terbitan hak bagi pemegang saham mengukuhkan pelaburan mereka, dan RM300 juta bagi tawaran persendirian untuk pelabur berpotensi menyertai rancangan pertumbuhan syarikat pada masa depan.

“Kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif secara agresif, termasuk tetapi tidak terhad untuk memperkemas semua operasi perniagaan; menamatkan perniagaan bukan teras dan berprestasi rendah; meningkatkan kecekapan operasi dan pengoptimuman kos melalui kawalan kos yang ketat; mengurangkan tenaga kerja; mengetatkan tadbir urus korporat dan meningkatkan margin dengan menumpukan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

“Selain itu, Pharmaniaga juga melaksanakan tawaran persendirian pada Julai tahun lepas untuk mengukuhkan aliran tunai kami,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha mencapai pertumbuhan mampan, Pharmaniaga telah mengenal pasti lima tonggak strategik yang menjadi asas operasi yang termasuk mengukuhkan perniagaan sektor awam; membina keupayaan biofarmaseutikal; mengurangkan kos secara agresif; mengembangkan pasaran swasta; dan mencipta semula perniagaan Indonesia bagi syarikat.

Zulkifli mengulangi bahawa situasi kewangan tidak menjejaskan kecekapan operasi terutama anak syarikatnya Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) yang memegang konsesi logistik dan pengedaran dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pihaknya secara konsisten cemerlang dalam memenuhi piawaian perkhidmatan KKM dengan mencapai skor 98.75 peratus bagi 2023 dan 99.26 peratus untuk suku pertama tahun ini, katanya.

“Keputusan ini sebagai bukti usaha kami dalam menyampaikan perkhidmatan dan produk yang luar biasa kepada pelanggan kami. Komitmen kami kepada KKM kekal kukuh dan utuh,” katanya.

Beliau berkata Pharmaniaga mempunyai keupayaan dan sumber untuk mengatasi cabaran dan mencapai sasaran.

“Terutama apabila syarikat mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada pemegang saham utama kami, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan