EKONOMI > BERITA

UNIT PARAMOUNT AMBIL ALIH 21.54 PERATUS KEPENTINGAN DALAM ECO WORLD INTERNATIONAL PADA RM170.61 JUTA

10/05/2024 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Paramount Corporation Bhd, Flexsis Sdn Bhd mengambil alih 21.54 peratus kepentingan ekuiti dalam Eco World International Bhd pada harga RM170.61 juta, menerusi pembelian 517 juta saham pada 33 sen sesaham menerusi urus niaga perniagaan langsung.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Paramount berkata pengambilalihan itu adalah tepat pada waktunya dan peluang yang strategik bagi kumpulan untuk mempercepatkan pelan pengembangan dan mempelbagaikan perniagaan luar negaranya.

“Ia membolehkan Paramount memperoleh kawalan ke atas 21.54 peratus kepentingan syarikat pembangunan hartanah antarabangsa yang mantap, yang ditadbir dalam persekitaran perundangan dan kawal selia Malaysia," kata pemaju hartanah itu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Paramount Jeffrey Chew berkata sejak syarikat melupuskan perniagaan pendidikannya pada 2018, ia giat mencari peluang dalam perniagaan baharu untuk mempelbagaikan asas pendapatan, dalam dan luar Malaysia, yang digabungkan dalam pelan strategik 2020 hingga 2025.

"Kini kami melabur dalam pelbagai syarikat baharu berkaitan ruang digital dan mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah ke Bangkok melalui usaha sama,” katanya.

Eco World International mempunyai projek pembangunan di London, Sydney dan Melbourne melalui usaha sama dan anak syarikat, dengan baki nilai pembangunan kasar sebanyak RM8.6 bilion pada 29 Feb 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan