EKONOMI > BERITA

INDEKS PENAWARAN SEWA HARTANAH SUKU PERTAMA 2024 NAIK 31.3 PERATUS - PROPERTYGURU

10/05/2024 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Indeks penawaran sewa hartanah pada suku pertama 2024 menyaksikan aliran peningkatan di luar jangka sebanyak 31.3 peratus bagi tahun ke tahun, didorong oleh pelbagai faktor seperti keadaan hartanah lebih baik, pertambahan permintaan di kawasan tertentu atau perubahan pasaran hartanah tempatan.

Dalam Laporan Pasaran Hartanah bagi suku pertama 2024, PropertyGuru berkata aliran itu memaparkan kerumitan dinamik pasaran yang menyaksikan trend sebaliknya boleh berlaku walaupun di tengah-tengah penyusutan permintaan.

Laporan itu juga menunjukkan indeks permintaan sewa hartanah kediaman mencatat penurunan sebanyak 11 peratus bagi suku ke suku berikutan faktor perayaan bermusim yang biasanya menjejaskan aktiviti sewa pada awal tahun. 

“Selain itu, penyusutan permintaan sewa pada suku pertama 2024 juga berkemungkinan dipengaruhi oleh cabaran seperti kenaikan permintaan sewa dan bekalan hartanah,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Kenneth Soh berkata walaupun angka permintaan dan penawaran membayangkan tempoh pelarasan, keadaan daya tahan pasaran dan peralihan ini turut memberi prospek yang lebih berhati-hati. 

“Keseimbangan antara tawaran dan permintaan juga sentiasa berubah dan jika dikemudi secara berhati-hati, pasaran sewa berupaya mengekalkan kestabilannya.

“Ini akan terus menarik pelaburan hartanah daripada kalangan pembeli yang berhasrat menikmati hasil sewa yang menarik, terutama di kawasan yang mencatat pertumbuhan ekonomi lebih pantas serta rancangan pembangunan prasarana,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan