EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH UOB BAGI 2023 NAIK 44.4 PERATUS KEPADA RM1.9 BILION

10/05/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) mencatatkan peningkatan 44.4 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM1.9 bilion pada tahun kewangan 2023 berbanding RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya, dipacu oleh pendapatan operasi yang lebih tinggi.

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata pendapatan daripada operasi meningkat 19.3 peratus kepada RM4.6 bilion (2022: RM3.9 bilion) dan melepasi paras RM4.0 bilion buat kali pertama, disokong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih sebanyak 7.4 peratus kepada RM2.9 bilion, dan sumbangan pendapatan yang lebih tinggi daripada perniagaan Perbankan Islam.

"Pendapatan daripada operasi lain meningkat sebanyak 50.0 peratus kepada RM1.6 bilion, terutamanya didorong oleh yuran dan keuntungan pertukaran asing bersih yang lebih tinggi serta pendapatan komisen," kata UOB Malaysia.

Berdasarkan segmen perniagaan, pendapatan operasi bank untuk Perbankan Borong melonjak 18.5 peratus kepada RM2.1 bilion, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam Perbankan Transaksi dan aliran perniagaan Pasaran Global, kerana ia terus memanfaatkan kehadirannya yang kukuh di Asean dan kesalinghubungan dengan China membantu perniagaan berkembang.

Sejajar dengan komitmen UOB Malaysia untuk membantu perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta peralihan kepada amalan mampan, bank itu telah menyediakan pinjaman pembiayaan hijau sebanyak RM6.2 bilion setakat ini.

Bagi Perbankan Runcit, pendapatan operasi meningkat sebanyak 46.1 peratus kepada RM1.9 bilion, diterajui oleh peningkatan ketara dalam pendapatan faedah bersih, yuran dan komisen, sebahagiannya disebabkan oleh perniagaan perbankan pengguna Citigroup yang digabungkan.

Sementara itu, perbelanjaan operasi UOB Malaysia meningkat sebanyak 3.6 peratus terutamanya disebabkan oleh kos sekali sahaja daripada pemerolehan perniagaan Perbankan Pengguna Citigroup.

Jumlah peruntukan bank untuk kerugian kredit yang dijangkakan meningkat sebanyak RM191.4 juta kepada RM331.4 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh kerugian kredit yang dijangka lebih tinggi bagi aset-aset tidak terjejas, komitmen dan luar jangka disebabkan oleh hapus kira tahun sebelumnya, ditambah dengan peruntukan yang meningkat untuk aset-aset terjejas.

Pada 2023, pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan UOB Malaysia meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada RM107.1 bilion, dengan pertumbuhan kukuh 11.0 peratus dalam pembiayaan perdagangan. Deposit bukan bank naik 4.6 peratus kepada RM116.0 bilion.

Kedudukan modal bank terus kekal kukuh dengan Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) sebanyak 15.9 peratus dan Nisbah Kecukupan Modal (CAR) sebanyak 18.9 peratus, jauh melebihi keperluan kawal selia yang menyediakan penampan mencukupi untuk menyokong pertumbuhan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ng Wei Wei berkata berpandukan pelan strategik tiga tahunnya, UOB Malaysia akan terus memanfaatkan kehadiran dan kepakarannya yang luas untuk membantu perniagaan membuka laluan baharu bagi pertumbuhan di seluruh rantau melalui perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.

Beliau berkata memandangkan kemampanan semakin menjadi keperluan penting dalam perniagaan, bank itu komited untuk menyokong syarikat tempatan, terutamanya PKS untuk beralih kepada amalan hijau dan meningkatkan daya saing mereka dalam rantaian nilai global.

“Pembelian perniagaan Perbankan Pengguna Citigroup telah mengukuhkan lagi francais runcit UOB Malaysia dan membuka peluang baharu untuk penawaran produk yang lebih baik dan perkongsian global. Dengan integrasi yang berjaya pada Julai 2023, bank akan terus menghasilkan nilai daripada sinergi kedua-dua portfolio untuk memacu pertumbuhan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan