EKONOMI > BERITA

BNM DIJANGKA KEKAL OPR TIDAK BERUBAH SEPANJANG 2024 -- ANALISIS

09/05/2024 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kadar dasar semalaman (OPR) pada kadar 3.0 peratus ketika ini, dijangka kekal tidak berubah sepanjang 2024, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata Bank Negara Malaysia (BNM) ketika ini dilihat memberi tumpuan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi dasar monetarinya.

"Prospek ekonomi domestik diunjurkan kekal dalam keadaan berwaspada dan berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

"Bagaimanapun, kami percaya penstabilan inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mendorong BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024," kata MIDF Research dalam satu nota hari ini.

Ia berkata walaupun perdagangan luar dijangka pulih, namun persekitaran global diunjurkan kekal mencabar pada 2024 disebabkan ketegangan geopolitik yang berterusan serta potensi penurunan pertumbuhan global.

Dalam nota penyelidikan berasingan, OCBC Bank (Malaysia) Bhd turut senada dengan sentimen itu, dengan menyatakan BNM akan mengekalkan dasar monetari semasa, dan menjangkakan pertumbuhan akan bertambah baik serta tekanan inflasi yang terkawal.

Bank itu berkata BNM kekal yakin terhadap prospek pertumbuhan domestik, menjangkakan peningkatan dalam eksport, didorong oleh kitaran naik teknologi global dan pengukuhan yang mampan dalam sektor barangan bukan elektrik dan elektronik.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan domestik seperti perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan, dipacu oleh projek berbilang tahun dalam kedua-dua sektor swasta dan awam, ditambah dengan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara.

"Oleh itu, ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar kami untuk 2024 berada pada 4.2 peratus, berbanding 3.7 peratus pada 2023, iaitu masih dalam julat unjuran BNM pada empat hingga lima peratus," kata bank itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan