EKONOMI > BERITA

BANK DIGITAL TIDAK JEJAS BANK TRADISIONAL DI MALAYSIA - S&P GLOBAL

08/05/2024 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kehadiran bank-bank digital di Malaysia tidak memberi impak ketara ke atas bank tradisional, berikutan keupayaannya yang terhad untuk meraih pertumbuhan pesat di tahun-tahun awal operasi, kata S&P Global Ratings.

Penganalisis Kanan Penarafan Institusi Kewangan S&P Global Ratings Bagi Asia Selatan dan Asia Tenggara (SSEA) Sue Ong berkata lima lesen perbankan digital yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2022, juga dilihat tidak menjadi pengubah pada masa ini.

“Ada beberapa syarat pelesenan ditetapkan BNM dan salah satu yang penting adalah penggiat perbankan digital ini perlu memberi khidmat kepada kalangan penduduk yang kurang atau tidak mempunyai perkhidmatan bank.

“Namun, Malaysia sendiri mencatat kadar penembusan perbankan yang amat tinggi iaitu lebih 90 peratus (daripada penduduk) yang mendapat khidmat daripada bank-bank tradisional,” katanya pada sesi webinar bertajuk ‘Risiko Kredit Utama bagi Bank-Bank Malaysia dan Unjuran Ekonomi Malaysia’ di sini, hari ini.

Selain itu, BNM juga mensyaratkan bank-bank digital mengehadkan aset pada RM3 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama operasi masing-masing.

“Ini bermakna bank-bank digital ini tidak dapat berkembang pantas dalam beberapa tahun awal kehadirannya. Jumlah itu juga adalah bahagian kecil daripada jumlah aset sektor perbankan Malaysia,” katanya.

Ong berkata jika ada persaingan pun berkemungkinan dari segi kempen promosi semasa pelancaran bank digital yang dapat menarik pelanggan dengan tawaran deposit menarik.

“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada deposit ini akan kekal mantap apabila promosi berakhir kerana masih berdepan asas atau jumlah deposit bank tradisional,” katanya.

Malah, katanya, bank tradisional turut bertindak meningkatkan usaha dan penawaran perkhidmatan digital secara lebih ketara, termasuk menumpukan peningkatan pengalaman pengguna melalui aplikasi perbankan mudah alih dalam menangani persaingan dengan penawaran bank digital.

“Mereka memperkenalkan pelbagai produk-produk digital baharu yang khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro yang menyamai penawaran oleh bank-bank digital,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan