EKONOMI > BERITA

PUBLIC BANK SALUR LEBIH RM53 BILION PEMBIAYAAN MAMPAN

08/05/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Public Bank Bhd telah menyalurkan lebih daripada RM53 bilion pembiayaan mampan sejak 2020 yang merangkumi portfolio seperti pembiayaan kenderaan cekap tenaga, rumah mampu milik, korporat dan kemudahan pembiayaan hijau.

Dalam kenyataannya hari ini, ia juga kekal komited bagi usaha memacu amalan mampan terbaik dan seiring dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian bank berkenaan yang menyasarkan untuk menggerakkan sejumlah RM100 bilion dalam pembiayaan mampan menjelang 2030.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata kumpulan itu akan terus berhati-hati namun tangkas selain mengimbangi pertumbuhan dan risiko dalam senario perniagaan yang sentiasa berubah.

“Memandangkan ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil disokong oleh permintaan domestik, kami akan terus memacu pertumbuhan perniagaan dengan memanfaatkan potensi peluang pertumbuhan yang ada,” katanya.

Selain itu, Tay berkata Public Bank akan sentiasa mengikuti perkembangan pasaran dan mengambil inisiatif strategik yang bersesuaian untuk mengekalkan bahagian pasaran utamanya dalam industri pembiayaan, deposit dan unit amanah.

Pada masa sama, kumpulan berkenaan juga akan terus memastikan bank itu mempunyai modal yang baik serta dana mencukupi.

“Disertakan dengan kualiti aset berdaya tahan dan rizab kerugian pinjaman yang berhemat, akan membolehkan kumpulan menjana keuntungan yang mampan pada masa hadapan," katanya.

Tay berkata kumpulan itu akan kekal menumpukan usaha mengukuhkan perniagaan perbankan runcit serta komersial selain memacu transformasi digital dan fokus kepada komitmen kemampanannya.

Malah, katanya, usaha bagi mencapai kemajuan dalam transformasi digital adalah sebahagian daripada agenda kelestarian kumpulan berkenaan, termasuk kejayaan bank itu melancarkan aplikasi mudah alih baharu Aplikasi MyPB pada November 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan