EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN KORPORAT DORONG PERTUMBUHAN KREDIT BANK MALAYSIA KEPADA 6 PERATUS - S&P GLOBAL

08/05/2024 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Peningkatan dalam permintaan korporat, diterajui oleh projek-projek infrastruktur utama, mungkin membantu mendorong pertumbuhan kredit bagi bank-bank Malaysia kepada enam peratus pada 2024 berbanding lima peratus yang dicatatkan semasa 2023, kata S&P Global Ratings. 

Pengarah Penarafan Institusi Kewangan Asia Selatan dan Asia Tenggara, Nikita Anand berkata agensi itu menjangkakan pertumbuhan pinjaman korporat akan pulih pada tahun ini.

Pertumbuhan kredit korporat mengalami impak yang lebih besar daripada runcit pada 2023, berikutan kelembapan beberapa permintaan pinjaman modal kerja dalam sektor tertentu seperti pembinaan, pembuatan dan perdagangan.

“Bagi sesetengah pinjaman yang lebih besar, kami melihat syarikat korporat telah beralih kepada pasaran bon, memandangkan spread bon telah mengecil dengan ketara untuk penerbit berkualiti tinggi. Ini dicerminkan melalui pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah sebanyak empat peratus di bahagian korporat pada 2023.

“Pada 2024, dengan perancangan pihak berkuasa untuk melaksanakan beberapa projek infrastruktur utama yang berkaitan pengangkutan, kami percaya ini akan memberi kesan susulan kepada beberapa sektor lain yang terkait, yang akan memperoleh manfaat daripada peningkatan infrastruktur. Ini sepatutnya mencerminkan pertumbuhan kredit korporat yang lebih baik menjelang 2024 dan 2025,” kata Nikita semasa webinar bertemakan “Risiko Kredit Utama Bank-bank Malaysia dan Tinjauan Ekonomi” hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyatakan pinjaman korporat masih lebih rendah daripada runcit atau sektor isi rumah yang biasanya memacu pertumbuhan pinjaman di Malaysia.

“Jadi, kami hanya menjangkakan pertumbuhan enam peratus dalam portfolio itu, manakala bagi korporat, anggaran pertumbuhan adalah hampir lima peratus daripada empat peratus pada tahun lepas ,” kata Nikita.

Beliau juga menegaskan bahawa keadaan pasaran buruh yang kukuh dan dasar hapus kira yang proaktif sewajarnya terus membantu bank-bank Malaysia mengekalkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah.

Agensi penarafan itu menjangkakan kenaikan sederhana 25 hingga 30 mata asas dalam NPL yang boleh datang daripada pinjaman yang disusun semula yang kekal terurus pada 2.4 peratus, terutamanya daripada isi rumah berpendapatan rendah serta perusahaan kecil dan sederhana.

Bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia,  ia berkemungkinan berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang. Kelembapan di China akan diimbangi oleh peningkatan dalam prestasi perdagangan global termasuk permintaan domestik yang stabil.

“Kami meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.3 peratus pada 2024 dan 4.5 peratus menjelang 2025, berbanding 3.7 peratus pada 2023, dan ini sepatutnya menyokong permintaan kredit,” kata Nikita.

Beliau juga menjelaskan hutang korporat Malaysia kepada KDNK adalah kira-kira 70 peratus, yang setanding dengan rantau Asia.

Lembaran imbangan korporat secara amnya adalah mantap, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam keuntungan pada 2023, disebabkan oleh kenaikan dalam kadar dasar semalaman (OPR). 

“Trend ini mungkin berkekalan pada 2024. Bagaimanapun, kami mengunjurkan metrik sektor korporat secara keseluruhan akan kekal sihat, terutamanya nisbah hutang kepada ekuiti dan perlindungan faedah, yang kedua-duanya berada pada tahap yang positif sejak 2023.

“Ini semua sepatutnya menyokong kualiti kredit sektor korporat dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang,” kata Nikita.

S&P Global ketika mengulas mengenai sektor isi rumah berkata wujud beberapa risiko struktur memandangkan leveraj isi rumah yang agak tinggi iaitu melebihi 80 peratus daripada KDNK dan pendapatan per kapita yang agak rendah sebanyak US$12,000 (US$1=RM4.740).

Nikita percaya risiko kualiti aset dalam sektor ini boleh dikurangkan melalui beberapa faktor, antaranya ialah keadaan pasaran buruh dan kadar OPR yang stabil pada tiga peratus, satu tahap yang sama dengan tahap sebelum pandemik.

Beliau juga berkata bank-bank Malaysia dari segi sejarah sentiasa mengekalkan kualiti aset yang cemerlang di kalangan rakan setara, dan dalam beberapa tahun akan datang, trend ini akan berterusan.

“Kami percaya keadaan pembiayaan serta kecairan akan menstabil. Bagaimanapun, pada 2023, kami menyaksikan penurunan mendadak dalam margin. Ini didorong oleh kenaikan semula harga deposit berjangka dan persaingan kadar deposit yang sengit.

“Bank Malaysia mempunyai bahagian deposit berjangka yang lebih tinggi daripada banyak pasaran lain di rantau ini. Oleh itu, penentuan harga semula deposit berjangka sangat mempengaruhi margin, yang menguncup 20 mata asas pada 2023,” kata Nikita.

Namun begitu, S&P Global melihat persaingan harga deposit telah reda dan kadar deposit tetap nampaknya memuncak, katanya .

Mengenai keuntungan, Nikita memberitahu terdapat peningkatan terhad bagi bank Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang selepas agensi penarafan itu menyaksikan pemampatan 3 atau 5 mata asas lagi dalam margin, kemungkinan pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan