EKONOMI > BERITA

CIMB RESEARCH UNJUR OPR KEKAL 3.0 PERATUS

08/05/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus untuk menunggu maklumat terperinci mengenai rancangan rasionalisasi subsidi bahan api dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dijadualkan berlangsung esok (9 Mei), kata CIMB Treasury and Markets Research .

Ia juga menjangka dasar monetari kekal pada status quo dan mengekalkan unjuran OPR akhir 2024 sebanyak 3.00 peratus.

"Kami menjangkakan BNM akan mengesahkan pendirian bergantung kepada data esok sementara menunggu maklumat terperinci mengenai rasionalisasi subsidi dalam persekitaran inflasi yang baik akibat kenaikan tarif elektrik dan air serta kenaikan cukai perkhidmatan pada suku pertama 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.

CIMB Treasury and Markets Research berkata pengeluaran daripada Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dan kenaikan gaji penjawat awam akan meningkatkan penggunaan swasta.

Mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), firma penyelidikan itu mengulangi unjuran pertumbuhan 2024 sebanyak 4.9 peratus, disokong oleh kesan daripada kenaikan gaji kakitangan awam.

Selain itu, unjuran aliran keluar sebanyak RM25 bilion daripada Akaun 3 KWSP pada tahun pertama mungkin menyumbang 0.5 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK, manakala kenaikan gaji penjawat awam mungkin menambah 0.2 mata peratusan.

“Kesan kepada penggunaan berkemungkinan lebih besar kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keutamaan terhadap kenaikan gaji, antara 25 hingga 30 peratus bagi mereka yang berada dalam gred rendah atau kumpulan berpendapatan rendah yang berkemungkinan membelanjakan bahagian lebih tinggi daripada pendapatan tambahan yang diperoleh,” katanya.

CIMB Treasury and Markets Research berkata kumpulan B40 dan M40 memegang 1.0 peratus dan 17 peratus daripada jumlah simpanan KWSP masing-masing pada RM11 bilion dan RM180 bilion berbanding 82 peratus saham golongan T20 atau RM897 bilion.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan