EKONOMI > BERITA

MIDF KEKALKAN SARANAN 'BELI' DI BURSA TEMPATAN SUSULAN PERMODALAN PASARAN CECAH RM2 TRILION

08/05/2024 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- MIDF Research Investment Bank Bhd (MIDF) mendapati "prospek yang baik dalam aktiviti perdagangan di Bursa Malaysia tahun ini daripada pendapatan korporat dan sudut penilaian" apabila permodalan pasaran bursa tempatan mencecah RM2 trilion buat kali pertama semalam dengan indeks utama pada tahap tertinggi dua tahun.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang teguh dan seterusnya meningkatkan pendapatan korporat.

"Kami juga menjangkakan pemotongan kadar faedah AS yang dijangkakan berupaya membawa kepada sentimen positif, terutamanya dalam kalangan pelabur asing, dan ini akan memacu penilaian pasaran yang lebih baik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF berkata ia menyaksikan aktiviti dagangan yang lebih baik setakat tahun ini berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, sambil menambah Bursa Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus membangunkan pasaran dan mencatat kemajuan dalam pelan strategiknya.

Walau bagaimanapun, dalam jangka pendek, MIDF Research berkata perkembangan global dan tempatan yang berterusan akan terus mempengaruhi turun naik dan prestasi pasaran sekuriti dan derivatif, "yang mana ketika ini kami berasa optimis".

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM8.20, yang mengikat pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2025 (TK25) kepada nisbah harga pendapatan (PER) sebanyak 25 kali," tambahnya.

Mengenai prestasi indeks, FBM KLCI menyaksikan kenaikan dari awal tahun sehingga kini (YTD) (sehingga 7 Mei, 2024) sebanyak 10.4 peratus, menjadikannya indeks dengan prestasi terbaik di Asean setakat ini. Berbanding dengan rakan setara, hanya Nikkei Jepun telah mengatasi prestasi itu dengan kenaikan sebanyak 16 peratus.

MIDF menyatakan sokongan yang diberikan oleh pelabur-pelabur tempatan dan kembalinya dana asing pada Mei telah menaikkan sentimen.

"Walaupun kami menyaksikan aliran keluar bersih dana asing sebanyak RM4.25 bilion di antara Mac dan April, namun terdapat aliran masuk bersih sebanyak RM1 bilion pada Mei setakat ini.

"Kami optimis dengan prospek dana asing kembali ke pasaran Malaysia berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah AS dan seterusnya dolar AS akan lemah yang dikaitkan dengan tindakan tersebut," tambahnya.

Pada 7 Mei, 2024, pasaran saham Malaysia mencatat kejayaan apabila permodalan pasarannya mencecah RM2 trilion buat kali pertama. FBM KLCI naik selama empat hari berturut-turut untuk ditutup di atas paras 1,600 buat kali pertama dalam dua tahun, ditutup pada 1,605.68 iaitu yang tertinggi sejak 8 April, 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan