EKONOMI > BERITA

BURSA REACH RAPAT JURANG PELABUR-REMISIER

07/05/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd telah memperkenalkan platform pemprofilan pertama Malaysia yang menampilkan serta memudahkan hubungan yang lebih baik antara wakil peniaga dan pelabur, melangkaui saluran tradisional.

Bursa itu melalui satu kenyataan hari ini berkata platform tersebut, dikenali sebagai Hab Pemerolehan Remisier Bursa (Bursa Reach), adalah tawaran baharu yang memberikan pelabur akses yang lebih besar kepada peluang pelaburan.

“Melalui platform ini, remisier yang dicalonkan serta wakil peniaga boleh mempamerkan kepakaran pelaburan mereka secara menarik, membolehkan mereka membina profil terperinci yang menonjolkan pengalaman, kelayakan dan strategi pelaburan masing-masing.

“Ketelusan ini membantu membina kepercayaan, selain menarik minat bakal pelabur yang lebih luas dan membolehkan bakal pelabur mencari kesesuaian berdasarkan keperluan pelaburan mereka,” tambahnya lagi.

Bagi pelabur, Bursa Reach membolehkan mereka untuk terus mendapat maklumat tentang aktiviti pelaburan terkini wakil peniaga mereka, berhubung dengan wakil termasuk meneroka portfolio mereka, menapis idea pelaburan serta membuat keputusan pelaburan termaklum berdasarkan gaya pelaburan dan selera risiko mereka.

Platform ini adalah percuma dan terbuka kepada semua organisasi yang mengambil bahagian serta orang ramai yang melabur, ia kini mempunyai 31 wakil peniaga daripada empat organisasi yang mengambil bahagian seperti AmInvestment Bank Bhd, BIMB Securities Sdn Bhd, Malacca Securities Sdn Bhd dan Phillip Capital Sdn Bhd.

Platform Bursa Reach mengalu-alukan lebih banyak organisasi yang mengambil bahagian untuk mencalonkan dan memprofilkan wakil peniaga mereka, bagi meluaskan penyertaan serta meningkatkan aktiviti pasaran untuk kerancakan pasaran modal yang lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift berkata pelancaran Bursa Reach menekankan komitmen bursa terhadap pertumbuhan pasaran selain menyokong keperluan pelabur yang semakin berkembang.

“Dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan memupuk keterangkuman, kami mewujudkan pasaran modal yang bertenaga, boleh diakses oleh semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan