EKONOMI > BERITA

MOU NAICO MALAYSIA-TUSAS LAKSANA RANTAIAN BEKALAN, PEMBANGUNAN PENYELIDIKAN

06/05/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TUSAS Malaysia Sdn Bhd untuk melaksanakan rantaian bekalan, kecekapan dan program pembangunan penyelidikan di Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024, NAICO Malaysia berkata MoU itu memperlihatkan pencapaian penting kedua-dua organisasi.

NAICO Malaysia adalah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala TUSAS Malaysia merupakan anak syarikat Turkish Aerospace iaitu syarikat yang beribu pejabat di Ankara, Turkiye.

"Di bawah Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia (MyAERO Centre) yang diterajui oleh NAICO Malaysia, agensi itu akan bekerjasama dengan TUSAS Malaysia untuk memperkuat keupayaan aeroangkasa Malaysia, meningkatkan lagi nilai kepada rantaian nilai aeroangkasa global.

"Program ini termasuk pembangunan rantaian bekalan tempatan, kecekapan dan latihan pelajar tempatan untuk berada dalam rantaian nilai aeroangkasa, dan penyelidikan mengenai teknologi terkini yang akan diterima pakai dalam industri aeroangkasa," katanya.

Menurut NAICO Malaysia, industri aeroangkasa telah dinyatakan sebagai sektor strategik dan boleh memberikan kesan positif kepada modal insan dan ekonomi negara.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia bersedia sebagai negara aeroangkasa pilihan di Asia Tenggara menjelang 2030, berpandukan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030).

"Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menyokong pelan tindakan ini dengan mendorong industri strategik seperti aeroangkasa ke arah ekonomi pertumbuhan bernilai tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan