EKONOMI > BERITA

RICHIAMO MART SASAR PASARKAN 70 PERATUS PRODUK TEMPATAN, NASIONAL

05/05/2024 04:19 PM

BANGI (Selangor), 5 Mei (Bernama) -- Richiamo Mart Sdn Bhd (Richiamo Mart) menyasarkan untuk memasarkan sehingga 70 peratus produk keluaran tempatan selain jenama nasional terkenal menerusi rangkaian kedai serbanekanya yang dibuka secara berperingkat di seluruh negara.

Pengarah Urusan Richiamo Mart Wan Najib Wan Daud berkata buat masa ini, pihaknya memasarkan sebanyak 16 produk bumiputera di cawangan pertama kedai serbaneka itu di sini.

“Kita mahu menjadikan Richiamo Mart sebagai platform untuk memasarkan produk tempatan memandangkan produk ini agak sukar untuk memasuki kedai lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Richiamo Mart cawangan pertama hari ini.

Ia dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengenai syarat ditetapkan Richiamo Mart bagi membolehkan produk bumiputera dipasarkan di rangkaian itu, Wan Najib berkata produk tersebut perlu memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan cop Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). 

“Jika semua syarat ini dipenuhi, kami akan memberikan peluang kepada mereka untuk meletakkan produk di sini,” katanya.

Antara produk tempatan yang terdapat di kedai serbaneka itu ialah kerepek PakChips, lempeng pisang Tisha’s, kopi Bayan Nuri, minuman kurma cincau Fitrah dan jus buah-buahan Munira.

Berkongsi mengenai sasaran perniagaan, beliau berkata pihaknya menyasarkan pembukaan 15 cawangan Richiamo Mart di seluruh negara pada tahun ini, dengan sasaran pendapatan antara RM50,000 dan RM60,000 sebulan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan