EKONOMI > BERITA

PENJAWAT AWAM LEBIH BANYAK PELUANG BELI RUMAH SEJAJAR DENGAN KENAIKAN GAJI - REHDA

05/05/2024 01:54 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) percaya bahawa kenaikan gaji penjawat awam pada Disember ini boleh membawa kepada lebih banyak peluang untuk kumpulan itu membeli hartanah.

Presidennya, Datuk NK Tong berkata walaupun kenaikan kos sara hidup dan bahan binaan terus menjejaskan kemampuan orang ramai dan pemaju, berita mengenai kenaikan gaji penjawat awam dapat memberikan sedikit kelegaan.

“Bagi pekerja yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), walaupun terdapat kebimbangan mengenai penstrukturan semula akaun pencarum, apabila Akaun 1 telah dinaikkan kepada 75 peratus, mereka masih mempunyai sehingga 25 peratus daripada simpanan mereka untuk digunakan membeli rumah idaman mereka, dalam Akaun 2 dan 3 mereka,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata walaupun cadangan kenaikan gaji itu mungkin tidak dapat mengurangkan isu rumah tidak mampu dibeli di Malaysia dengan segera, REHDA berharap langkah itu akan memberi impak positif yang berterusan kepada industri dan negara dalam jangka masa panjang.

Ditanya bagaimana pemaju akan menguruskan kos binaan yang meningkat, katanya ia terpulang kepada pemaju untuk menjadi inovatif.

“Mereka boleh terus menurunkan margin mereka untuk menyerap kos tersebut yang meningkat dengan ketara beberapa tahun ini.

“Selain itu, kos juga boleh dicerminkan daripada yang dipindahkan kepada pengguna yang akan membawa kepada kenaikan harga. Cara lain adalah dengan menggantikan bahan dengan kualiti dan ketahanan yang sama. Ini mungkin disebabkan ringgit yang rendah.

“Oleh itu, terpulang kepada pemaju untuk menjadi inovatif,” katanya.

Beliau berkata kos pematuhan adalah satu lagi isu berterusan yang termasuk kelewatan untuk kelulusan.  

Kos pematuhan termasuklah masa dan perbelanjaan yang ditanggung oleh pemaju untuk mematuhi dasar, perundangan dan peraturan kerajaan yang meningkatkan kos menjalankan perniagaan.

Tong menjelaskan dengan peningkatan kos tenaga yang tidak dapat dielakkan di peringkat global, yang merupakan input utama kepada bahan binaan, kos pematuhan sekurang-kurangnya perlu dikurangkan, tanpa menjejaskan peraturan dan undang-undang.

 

PEMAJU TIDAK BOLEH KECEWAKAN PELANGGAN 

 

Mengulas mengenai isu pembeli tidak berpuas hati dengan hartanah yang baru dibeli berikutan bahan dan mutu kerja yang tidak berkualiti, Tong berkata pembeli mungkin boleh menghadapi situasi tersebut.

“Jika kami (pemaju) mahu menjalankan perniagaan dalam jangka masa panjang, kami tidak boleh mengecewakan pelanggan. Pembeli mempunyai hak untuk membawa penjual ke mahkamah untuk mendapatkan ganti rugi jika mereka telah dianiaya.

“Mereka perlu lebih bijak dan teliti dalam memilih untuk membeli hartanah. 

“Pembeli juga perlu mempertimbangkan pasaran sekunder (unit yang sebelumnya dimiliki atau bangunan yang sudah ada) kerana apa yang mereka lihat adalah apa yang mereka dapat,” katanya.

Kira-kira 85 peratus daripada urus niaga setiap tahun adalah dalam pasaran sekunder, katanya.

 

IBS MASIH BUKAN PILIHAN UTAMA UNTUK PROJEK SWASTA 

 

Sementara itu, walaupun negara menghadapi masalah untuk melatih kumpulan pekerja asing baharu dalam industri selepas pandemik COVID-19, sistem binaan berindustri (IBS) tidak cukup menarik untuk pemaju.

Tong berkata ini kerana Malaysia masih tidak mempunyai ekonomi skala untuk melaksanakan sistem itu.

“IBS akan meningkatkan kualiti dan baik untuk diguna pakai tetapi ia akan menjadi lebih mahal buat masa ini kerana kita perlu menyelaraskan dan menambah pengeluaran.

“Mungkin projek kerajaan paling sesuai untuk IBS berikutan mereka telah melaksanakan ribuan unit.

Sebagai contoh, Projek Perumahan Rakyat, mengandaikan mereka mempunyai reka bentuk standard,” katanya.

Bagaimanapun, katanya penggunaan IBS yang tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengeluaran yang rendah akan menyebabkan kenaikan harga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan