EKONOMI > BERITA

ZURICH MALAYSIA BAKAL LANCAR PRODUK BAHARU LINDUNGI IMPAK RISIKO CUACA

25/04/2024 06:50 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Zurich Insurance Group (Zurich) berhasrat memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu di Malaysia pada tahun ini, direka khusus bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, kata Ketua Pegawai Pelanggannya Conny Kalcher. 

Tumpuan utama adalah bagi menjamin kepentingan pelanggan terhadap impak cuaca dan perubahan iklim yang tidak dijangkakan.

“Dalam pasaran Malaysia misalnya, kami melihat isu-isu berkaitan iklim memberi impak ketara terhadap kesejahteraan para pelanggan tempatan seperti kejadian banjir pada 2021 yang menjejaskan 11 negeri.

“Dalam tempoh itu, industri insurans dan takaful menanggung 36 peratus daripada keseluruhan kerugian yang berjumlah RM2.2 bilion,” katanya kepada Bernama.

Kalcher berkata syarikat itu sebelum ini turut mengedarkan Peralatan Bantuan Banjir Zurich kepada individu yang terjejas akibat banjir menggunakan kemudahan lori banjir Zurich selain menawarkan bantuan dan menyelesaikan tuntutan sehingga RM30,000 dalam tempoh serta-merta.

Selain itu, kira-kira 37 peratus daripada tuntutan yang difatarkan juga berjaya diselesaikan dengan cepat dalam tempoh lima hari bekerja, sekali gus meringankan beban pelanggan.

Kalcher berkata evolusi Zurich Malaysia juga konsisten dalam memenuhi keperluan pelanggan, sama ada di bidang kesihatan, perlindungan harta atau orang tersayang.

"Malaysia adalah contoh baik dan membolehkan kami memberi perkhidmatan menyeluruh kepada pelanggan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat. Ini juga berdasarkan kedudukan kami yang unik di pasaran kerana menjadi satu-satunya jenama global yang memegang keempat-empat lesen insurans dan takaful," katanya.

Beliau berkata Zurich juga mewujudkan platform risikan pelanggan global yang berupaya menawarkan saranan berdasarkan keperluan dan cadangan khusus bagi setiap pelanggan.

“Kami sedang meningkatkan platform digital bagi menambah baik interaksi pelanggan dan penyampaian perkhidmatan, sejajar dengan matlamat untuk memenuhi keinginan pelanggan menerusi inovasi penyelesaian insurans dan takaful mudah diakses,” katanya.

Zurich Insurance Group adalah peneraju penyedia insurans pelbagai peringkat global yang menawarkan perkhidmatan bagi individu dan perniagaan di lebih daripada 200 negara dan wilayah.

Bagi tempoh sehingga Disember 2023, Zurich Malaysia berada di kedudukan kelima dalam insurans dan takaful harta benda dan kemalangan serta di tempat ke-11 dalam segmen takaful hayat dan keluarga.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan