EKONOMI > BERITA

CELCOMDIGI KOMITED TINGKAT STANDARD KESELAMATAN LINDUNGI PELANGGAN DARIPADA RISIKO AI

25/04/2024 04:37 PM

CYBERJAYA, 25 April (Bernama) -- CelcomDigi Bhd kekal komited dalam melindungi pelanggannya daripada risiko teknologi pesat membangun seperti Kecerdasan Buatan (AI) dengan meningkatkan standard keselamatannya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Idham Nawawi menekankan bahawa tadbir urus dan akauntabiliti data yang kukuh adalah penting dalam membina kepercayaan pada era AI berbanding zaman sebelumnya.

“Menangani isu kepercayaan adalah lebih kritikal pada era AI berikutan set data yang dikumpulnya datang daripada pelbagai sumber terbuka.

“Walaupun AI berupaya dimanfaatkan untuk mencipta pelbagai inovasi, keupayaan ini menimbulkan kebimbangan yang berkaitan dengan privasi, keselamatan, ketulenan, hak cipta dan bidang penting lain yang perlu diberi perhatian,” katanya pada forum Trust Circle edisi kedua CelcomDigi di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini hari ini.

Menurut Idham, privasi dan perlindungan data kekal sebagai teras kepada semua yang mereka lakukan untuk pelanggan mereka, dengan sifar kompromi dalam menjaga kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

“Kami percaya ia adalah tanggungjawab bersama seluruh ekosistem -- kerajaan, data dan tadbir urus,  profesional dan peneraju industri -- kerana ia merupakan langkah penting dalam memupuk keyakinan orang ramai dan secara kolektifnya membina kepercayaan untuk masa depan digital kita.

"Dalam hal ini, pengendali telekomunikasi seperti CelcomDigi mempunyai peranan penting dalam membina kepercayaan digital," katanya.

Beliau turut menekankan kepada organisasi, selain mempunyai kawalan dalaman yang ketat ketika mengaplikasi teknologi baharu, adalah penting untuk memilih rakan kongsi yang mempunyai rekod pengurusan data yang kukuh; menggunakan platform teknologi yang dipercayai; mengikuti perkembangan peraturan; dan memacu standard yang tinggi dalam tadbir urus data.

Edisi kedua Trust Circle itu dihoskan bersama MCMC dan bertujuan untuk menggalakkan wacana lebih mendalam dalam mempromosikan amalan data yang bertanggungjawab merentas organisasi dan melindungi masa depan digital secara kolektif dalam dunia yang didayakan oleh AI kini.

Kalangan pakar dari CelcomDigi, MCMC, Microsoft Malaysia, KPJ Healthcare, IIS Partners, Cisco, MIMOS dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersama-sama berkongsi pandangan mereka tentang arah aliran AI dan risiko berkenaan perlindungan data pelanggan.

Turut dibincangkan ialah kepentingan program yang menjurus persiapan masa depan dalam organisasi, membina kepercayaan orang ramai dengan penggunaan AI yang bertanggungjawab, dan peranan pemimpin dalam memacu akauntabiliti dalam menerima pakai inovasi teknologi pesat membangun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan