EKONOMI > BERITA

PULAU PINANG TERIMA 161 TEMPAHAN PERSINGGAHAN KAPAL PERSIARAN ANTARABANGSA - PPC

24/04/2024 01:28 AM

GEORGE TOWN, 23 April (Bernama) --Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) di sini menjangkakan peningkatan mendadak dalam persinggahan kapal persiaran antarabangsa dengan 161 tempahan diterima setakat ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC)  Datuk Yeoh Soon Hin.

Beliau berkata PPC merekodkan pertumbuhan jumlah pelabuhan singgahan untuk SPCT tahun ini berbanding jumlah kedatangan keseluruhan tahun lepas.

“Sehingga semalam, kami mempunyai 161 persinggahan di Pelabuhan Pulau Pinang tahun ini manakala tahun lepas sebanyak 156.  Pengusaha kapal persiaran akan membuat tempahan dua hingga tiga tahun lebih awal terutama kapal pelancongan pelayaran dunia.

"Berdasarkan data dari Januari hingga Mac tahun ini, SPCT menerima ketibaan pelancong antarabangsa seramai 473,517 orang berbanding 402,268 pelancong bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 17.71 peratus,” katanya pada sidang media di pejabat PPC di sini hari ini.

 Beliau juga mengalu-alukan operator pelayaran/persiaran tempatan dan pelabur untuk menerokai bidang pelancongan kapal persiaran kerana ia dapat menarik pasaran domestik dan Asia Tenggara.

-- LAGI

 

PULAU PINABG-KAPAL PERSIARAN 2  (AKHIR) GEORGE TOWN

 

Yeoh berkata kapal persiaran Spectrum of the Sea akan membuat persinggahan terakhir pada 28 Jun  manakala persinggahan sulung kapal Anthem of the Sea pada 13 Okt ini.

Tahun ini Pulau Pinang juga menyambut ketibaan sulung kapal Itali, Costa Deliziosa, dengan kapasiti 2,828 penumpang pada 12 April dan akan diikuti oleh kapal Serenade of the Seas dengan kapasiti 2,500 penumpang pada 26 April dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perkhidmatan Sistem dan Kemudahan di Penang Port Sdn Bhd, Mohd Nizam Ismail berkata pihaknya sedang menguruskan kemudahan dan infrastruktur antarabangsa selepas selesai kerja-kerja perluasan pangkalan SPCT dengan nilai RM95 juta.

“ Pada 2021, kami menyiapkan projek pembesaran dermaga yang merupakan fasa awal untuk menambah baik kemudahan dan infrastruktur. Keseluruhan proses menaik taraf SPCT  akan mengambil masa sehingga 2025,” katanya.

Katanya PPC berharap untuk melihat peningkatan persinggahan kapal persiaran pelbagai syarikat pelayaran ke negeri itu yang menawarkan akses segera kepada tapak Warisan Dunia UNESCO selepas berlabuh dan memberikan pengenalan yang memukau kepada Pualau Muitara itu.

Pulau Pinang telah menjadi salah satu destinasi kegemaran oleh syarikat pelancongan kapal persiaran terkenal termasuk kapal  Royal Caribbean International, Resort World Cruises, syarikat Costa Norwegian Cruise Line, Celebrity Cruises, Princess Cruises dan syarikat Cunard Line.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan