EKONOMI

MALAYAN FLOUR MILLS LABUR RM100 JUTA PADA TAHUN KEWANGAN 2024

17/04/2024 01:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Malayan Flour Mills Bhd (MFM) melabur sebanyak RM100 juta pada tahun kewangan 2024 dengan sebanyak RM32.0 juta akan digunakan untuk menyediakan barisan pengilangan baharu di Lumut, Perak.

Pengerusi MFM Datuk Oh Chong Peng berkata barisan pengilangan baharu itu akan dilengkapi dengan teknologi terkini, lebih cekap dan menjimatkan kos.

Ia juga akan meningkatkan kapasiti harian sedia ada 1,800 juta tan dengan menambah 600 juta tan lagi.

“Baki RM60.0 juta pula adalah untuk membina dan memasang silo tepung dan kemudahan pengadunan tepung di Mekong Flour Mills Ltd di selatan Vietnam,” katanya dalam laporan tahunan MFM bagi 2023.

Menurut Oh, MFM mempunyai perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM34.8 juta pada tahun kewangan 2023; sebahagian besarnya telah dilaburkan untuk 14 silo gandum tambahan di Mekong Flour Mills Ltd untuk menggandakan kapasitinya daripada 50,000 tan kepada 100,000 tan selain untuk menambah baik gudang dan bengkelnya.

Katanya, di utara Vietnam, Vimaflour Ltd turut menyiapkan pemasangan 18 silo gandum tambahan dengan kapasiti penyimpanan tambahan sebanyak 65,000 tan pada tahun kewangan 2023.

Bagi segmen penyepaduan ternakan ayam, kebanyakan daripada capex itu telah dilaburkan untuk meningkatkan kapasiti rawatan air buangan dan kemudahan tebus guna di kilang pemprosesan utamanya.

Segmen ini bercadang untuk melabur kira-kira RM218.0 juta untuk menaik taraf dan meluaskan ladang penternak serta mengautomatikkan kilang pemprosesan utama.

Segmen penyepaduan ternakan ayam ini turut menyaksikan jualan yang lebih rendah pada tahun kewangan 2023 berikutan perubahan sikap pengguna terhadap rangkaian restoran perkhidmatan pantas (QSR) lain disebabkan tindakan memboikot.

Keadaan ini membolehkan MFM untuk membangunkan subsegmen baharu dalam saluran perkhidmatan makanan.

“Sehubungan itu, ketika kumpulan ini terus menyusun strategi untuk pasaran baharu, ia akan terus bersedia untuk menyokong pelanggan utama yang terjejas akibat boikot,” katanya.

Selain itu, MFM berhasrat untuk membawa perkongsian bersinergi dengan Tyson International Holding Company ke peringkat seterusnya.

“Pertama, kami berharap untuk mewujudkan ladang yang menggunakan teknologi bagi kedua-dua stok induk dan ayam pedaging untuk membantu memastikan bekalan ayam daging yang mencukupi ke kilang pemprosesan kami di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh di Sitiawan, Perak.

“Kedua, kami menyasarkan untuk memanfaatkan kelebihan daya saing dan kepakaran teknikal mereka untuk menambah baik operasi kami, meneroka pasaran eksport baharu dan melaksanakan inisiatif pembangunan produk,” kata Oh.

Sementara itu, bagi segmen perniagaan tepung dan bijian, MFM akan terus menjalinkan hubungan dengan pembekal untuk mendapatkan bekalan bahan mentah tanpa gangguan bagi kemudahan pengeluaran di Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Operasi besar secara kolektif di negara-negara ini memberikan kelebihan kepada kumpulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan