EKONOMI

KAWAN RENERGY DIJADUAL DISENARAIKAN DI PASARAN ACE PADA SUKU KEDUA

03/04/2024 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian kejuruteraan, Kawan Renergy Bhd menjangka akan disenaraikan pada suku kedua 2024 di Pasaran ACE.

Pengarah Urusannya, Lim Thou Lai berkata langkah itu akan mempercepatkan pelan pengembangan syarikat dan membolehkannya memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk fleksibiliti kewangan yang lebih baik bagi memanfaatkan peluang akan datang.

“Hasil daripada IPO akan digunakan terutamanya sebagai modal kerja bagi membolehkan kumpulan melaksanakan lebih banyak projek yang berkualiti, meningkatkan rantaian nilai serta mengukuhkan penjanaan tenaga dan jualan perniagaan tenaga kami.

“Industri peralatan proses perindustrian terus menunjukkan prospek yang baik, disokong oleh permintaan yang meningkat daripada pelbagai sektor yang menggunakan peralatan tersebut.

“Selain itu, pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat di Malaysia akan meningkatkan peralatan proses perindustrian kami, terutamanya untuk sektor seperti oleokimia, industri makanan, utiliti, minyak dan gas serta bahan api mampan,” katanya dalam kenyataan sempena perjanjian taja jamin dengan M&A Securities hari ini.

M&A Securities akan menjadi penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

IPO itu terdiri daripada terbitan awam 110 juta saham biasa baharu, mewakili 20 peratus daripada modal saham diperbesarkan dan tawaran untuk jualan sebanyak 34.5 juta saham sedia ada atau 5.3 peratus daripada modal saham diperbesarkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan dan 1.0 peratus kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Daripada 110 juta saham baharu, sebanyak 27.5 juta saham untuk orang ramai melalui undian.

Sebanyak 19.3 juta saham diperuntukkan untuk pengarah dan pekerja yang layak serta mereka yang menyumbang kepada kumpulan manakala baki 63.2 juta saham untuk pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI.

Kawan Renergy, melalui anak syarikatnya Kawan Engineering Sdn Bhd dan Kawan Green Energy Sdn Bhd, terlibat dalam reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pengoperasian peralatan proses industri, loji serta tenaga boleh baharu dan loji penjanaan bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan