EKONOMI

NEUROGINE BEKERJASAMA DENGAN UMSKAL, LCC SELIDIK KESEDIAAN ICT PMKS

16/01/2024 04:22 PM

LABUAN, 16 Jan (Bernama) -- Neurogine Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan dan teknologi utama Asia Tenggara menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Dewan Perniagaan Labuan (LCC) untuk menjalankan inisiatif penyelidikan ke arah usaha merealisasikan transformasi digital di Labuan.  

Matlamat utama penyelidikan itu adalah untuk menilai kesediaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di Labuan dalam menerima pakai instrumen digital dan menyerap amalan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Owen Chen Chee Onn berharap inisiatif penyelidikan itu akan dapat mengenal pasti faktor kritikal dan merapatkan jurang yang seterusnya membuka jalan kepada Labuan untuk berkembang menjadi bandar pintar.

Kerjasama itu dirasmikan pada majlis menandatangani surat kerjasama di UMSKAL hari ini yang disaksikan oleh wakil daripada ketiga-tiga pihak terbabit.

Owen berkata garis masa kerjasama itu adalah selari dengan visi Labuan menjadi bandar pintar seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke Labuan pada Disember lepas. 

"Pasukan penyelidik yang dibentuk sejurus selepas lawatan perdana menteri itu, menyasar untuk menyelesaikan penyelidikan berkenaan dalam tempoh enam bulan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut, hari ini.

Inisiatif penyelidikan itu yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, dibiayai sepenuhnya oleh Neurogine. 

Menurut Owen, penekanan terhadap PMKS itu adalah lantaran potensi ekonominya yang besar dan peranannya dalam memacu pertumbuhan ekonomi Labuan. 

Labuan, walaupun berada di kedudukan kedua dalam KDNK per kapita negara, berdepan cabaran seperti prospek kekurangan pekerjaan dan inisiatif penyelidikan itu bertujuan untuk menarik penglibatan sektor swasta bagi merealisasikan aspirasi pulau itu seperti yang digariskan dalam Laporan Pelan Struktur Labuan 2040.  

Sementara itu, Geoffrey menekankan akan keperluan pendekatan holistik untuk mengubah Labuan menjadi bandar pintar, menangani cabaran dengan penyelesaian yang realistik dan proaktif.

Beliau membayangkan Labuan menjadi bandar pintar contoh, memberi penekanan kepada kemajuan teknologi, perkhidmatan kerajaan dalam talian, penambahbaikan fasiliti pengangkutan, ruang awam yang selamat dan pembangunan mampan.

Inisiatif penyelidikan itu seiring dengan sokongan penubuhan Pusat Kecemerlangan Asia UMS (UMS ACoE) oleh Neurogine bagi rantaian blok kewangan, yang menunjukkan kesediaan Labuan untuk memanfaatkan peluang teknologi dan ekonomi. 

Menurutnya, penyelidikan tersebut perlu dijalankan memandangkan masih ramai PMKS di pulau itu yang menggunakan kaedah transaksi perniagaan lapuk secara manual.

Sementara itu, Pengerusi LCC Daniel Doughty mengesahkan komitmen dewan tersebut untuk menyatukan pemain industri merangkumi MSME dalam usaha penyelidikan kolaboratif.

"Kami bersedia untuk memainkan peranan penting kami dalam mendapatkan data penting bagi inisiatif penyelidikan yang menyeluruh," katanya.

Pengarah UMSKAL Profesor Madya Mohamad Rizal Abd Hamid menekankan kepentingan perniagaan kecil di pulau itu menggunakan instrumen digital untuk mencapai pertumbuhan dan daya saing.

Beliau berkata penting bagi Labuan, seperti negeri-negeri lain yang sedang menjalani transformasi ekonomi, untuk bersiap sedia mendepani era digital agar dapat terus kekal berada dalam landskap perniagaan yang sentiasa berkembang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan