Sabtu, 04 April 2020
26/03/2020 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan beberapa langkah tambahan yang boleh dipertimbangkan dalam Rangsangan Komprehensif demi membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua pertubuhan tersebut mencadangkan kerajaan memberi geran peningkatan teknologi terutama yang berkaitan dengan perniagaan berasaskan Internet serta pengeluaran barangan makanan dan keperluan asas yang dipasarkan secara dalam talian.

"Memandangkan pergerakan orang ramai dan barangan lebih terbatas sejak penularan COVID-19 ini, aspek perniagaan berasaskan Internet kini menjadi amat penting untuk dipromosikan.

"Kesukaran pengeluar-pengeluar China menghantar barangan ke dunia luar dalam masa enam bulan akan datang, sebaliknya menjadi waktu yang tepat untuk pengeluar-pengeluar Malaysia memenuhi kehendak pasaran,” kata mereka.

DPMM dan MTEM juga menggesa kerajaan menunda segala tindakan undang-undang terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan tidak membenarkan perkara seperti penamatan perkhidmatan, pengisytiharan muflis dan sebagainya untuk tempoh enam bulan atau lebih terhadap industri ini.

"Selain itu, kerajaan juga perlu memaksimumkan kesan berganda terhadap ekonomi menerusi perbelanjaan fiskal dengan melaksanakan Pemindahan Tunai kepada empat juta isi rumah terbabit.

"Umum mengetahui bahawa kerajaan telah menggunakan kaedah pemberian wang tunai kepada golongan B40 melalui Bantuan Sara Hidup namun ini masih terlampau sedikit untuk memberi impak. Jumlah (yang diberi) perlu besar dan mencukupi," kata mereka.

Dalam pada itu, DPMM dan MTEM juga mencadangkan insentif khas membela nasib peniaga kecil atau membenarkan gerai kecil dan penjaja beroperasi.

"Peniaga kecil, peniaga pasar tani dan peniaga pasar malam perlu ada ruang agar mereka dapat terus memberi khidmat serta menjana ekonomi. Namun sekiranya tidak boleh, mereka perlu dibantu kerana kebanyakannya berada dalam kalangan susah atau ‘kais pagi makan pagi.’

"Oleh itu, agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Mara (Majlis Amanah Rakyat dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu bersedia untuk menyalurkan bantuan itu secepat mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan