Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Malaysia semakin memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan nuklear global serta kesiapsiagaan kecemasan menerusi kerjasama antarabangsa yang bersifat praktikal.
Tonggak utama usaha itu ialah peranan Malaysia sebagai tuan rumah kepada satu-satunya repositori peralatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di rantau Asia Pasifik, yang menyokong penggunaan pantas peralatan khusus bagi mengesan radiasi untuk memperkukuh keselamatan nuklear semasa acara awam berskala besar di seluruh rantau ini.
Repositori yang terletak di Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear (NSSC) Malaysia di Dengkil turut berfungsi sebagai hab serantau bagi latihan dan pembangunan kapasiti, sekali gus menyerlahkan sumbangan Malaysia yang semakin meningkat dalam kerjasama keselamatan nuklear antarabangsa serta pengurusan risiko.
Pengarah Bahagian Keselamatan Nuklear IAEA Elena Buglova berkata repositori itu merupakan sebahagian daripada rangkaian keselamatan nuklear global agensi berkenaan yang meningkatkan sokongan operasi dan kesiapsiagaan serantau bagi menghadapi insiden keselamatan nuklear.
"Kami mempunyai banyak pengaturan praktikal dengan pelbagai negara di seluruh dunia, namun hanya di Malaysia kami mempunyai pengaturan praktikal yang melibatkan peralatan bagi rantau Asia Pasifik.
"Kami telah membuat pengaturan dengan mereka mengenai lokasi penyimpanan peralatan itu serta pelaksanaan latihan di Malaysia. Apabila terdapat keperluan, peralatan berkenaan boleh dihantar ke negara yang memerlukan bantuan dan kemudiannya dipulangkan semula ke hab di Malaysia," katanya kepada Bernama semasa satu seminar yang diadakan di ibu pejabat IAEA di Vienna baru-baru ini.
Buglova berkata antara penggunaan paling penting repositori itu ialah semasa Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar, apabila peralatan dari Malaysia digunakan buat kali pertama bagi menyokong operasi keselamatan nuklear di stadium sebagai langkah menghadapi potensi ancaman nuklear dan bahan radioaktif.
"Peralatan itu disimpan di sana bukan sahaja untuk tujuan latihan, malah untuk kegunaan operasi semasa acara awam berskala besar dan usaha bantuan antarabangsa.
"Ini menunjukkan bagaimana IAEA memanfaatkan keupayaan negara anggota serta bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi memperkukuh keselamatan nuklear," katanya.
Pada September 2020, Malaysia menerusi Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia, dahulunya dikenali sebagai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom) dan IAEA menandatangani perjanjian bagi mewujudkan satu kumpulan peralatan pengesanan radiasi untuk dipinjamkan.
Menurut IAEA, kemudahan yang diwujudkan dengan sumbangan kewangan daripada Jepun itu menyokong pembangunan kapasiti keselamatan nuklear serta keupayaan pengesanan di rantau Asia Pasifik, termasuk bagi acara awam berskala besar.
Kemudahan itu juga merupakan repositori peralatan keselamatan nuklear pertama yang diwujudkan dengan sokongan IAEA. Malaysia diiktiraf sebagai NSSC oleh IAEA sejak Disember 2012.
Di bawah perjanjian itu, IAEA menempatkan pengesan radiasi peribadi (PRD), peranti pengenalpastian radionuklid (RID) dan pengesan radiasi jenis beg galas (BRD) di NSSC Malaysia yang dikendalikan oleh Atom Malaysia.
Sementara itu, Buglova berkata IAEA menerusi program keselamatan dan sekuriti nuklearnya telah membantu negara anggota atas permintaan dalam mengintegrasikan sistem serta langkah keselamatan nuklear ke dalam pelan keselamatan keseluruhan bagi penganjuran acara awam berskala besar.
Sejak Sukan Olimpik di Greece pada 2004, beliau berkata agensi itu telah membantu memperkukuh langkah keselamatan nuklear dan kesiapsiagaan bagi hampir 90 acara awam berskala besar di 49 negara, termasuk acara sukan, politik dan keagamaan.
Terbaharu, IAEA membantu Mexico, satu daripada tiga negara tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2026, memperkukuh langkah keselamatan nuklear bagi melindungi venue kejohanan daripada perbuatan berniat jahat yang melibatkan bahan nuklear dan bahan radioaktif lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial